Monday, September 22, 2014

menjadikan surah al kahfi sebagai amalan mingguan

Alhamdulillah, usrah gbs masih lagi dapat meneruskan ruangan perkongsian. Surah Al Kahfi merupakan surah yang mendapat nama daripada kisah sekumpulan pemuda yang beriman kepada Allah SWT. Mereka memohon perlindungan kepada Allah daripada pemerintah yang zalim.

Surah ini disarankan menjadi bacaan mingguan kerana didalam satu hadis Rasulullah menyarankan sahabat Rasulullah membaca sepuluh ayat terawal surah al kahfi untuk mendapat perlindungan daripada fitnah Dajjal.

Oleh itu, hendaklah kita berusaha menjadikan bacaan surah al kahfi sebagai amalan mingguan kita. Apabila sudah selesa dengan membaca sepuluh ayat awal surah al kahfi. Bolehlah kita cuba menghafal ayat ayat ini. Kemudian, diteruskan dengan menghayati maksud sepuluh ayat yang dibaca. Semoga ayat ayat ini mampu menggetarkan jiwa supaya meletakkan pengharapan kita kepada Allah SWT.

Banyak lagi kisah yang menjadi teladan didalam surah ini untuk kita hayati. InsyaAllah sama sama kita istiqamah dalam beramal dan sebarkan kepada rakan rakan yang lain.

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
(Al-Kahfi 18:9)

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: 
"Wahai Tuhan kami! 

Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, 

dan berilah kemudahan-kemudahan 

serta pimpinan kepada kami 

untuk keselamatan agama kami".
(Al-Kahfi 18:10)

Tuesday, September 9, 2014

selamat menunaikan haji

Alhamdulillah, musim haji tiba lagi bagi tahun 1435 Hijrah. Bagi yang menerima giliran haji tahun ini, sesungguhnya ini adalah satu jemputan yang istimewa daripada Allah.

Bagi yang belum menunaikan haji, hendaklah kita meletakkan keazaman untuk menunaikan haji sebelum kita dijemput kembali kepada Allah. Hendaklah kita melalukan perancangan dan melaksanakan tindakan untuk membolehkan kita menunaikan haji. Disebabkan kouta haji yang terhad, adalah digalakkan supaya mendaftar haji awal supaya kita dapat menunaikan haji ketika keringat masih banyak.

Perancangan seperti menyediakan simpanan wang secukupnya boleh dilakukan mulai sekarang. InsyaAllah dengan keazaman, niat dan usaha kita, Allah akan memudahkan urusan urusan kita untuk menunaikan haji.

Persediaan ruhi juga jangan ditinggalkan, biarlah kita istiqamah dengan amalan amalan sunat seperti tilawah dan qiyam supaya menjadi kebiasaan nanti di tanah suci. Dengan ini, diharapkan diri para jemaah haji pergi dengan hati yang sentiasa mengingati Allah.

Disamping itu, persediaan fizikal juga boleh dilakukan untuk memastikan badan sihat untuk menunaikan haji kerana ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal yang banyak seperti bertawaf dan bersaei. Semua persediaan ini, dilakukan dengan harapan Allah memudahkan urusan menunaikan haji.

Ujian dan dugaan pasti akan menemui para jemaah haji di sana. Hendaklah sentiasa mengingati Allah dan bersabar. Dengan banyak bersabar, kita dekat dengan Allah InsyaAllah.

Bagi yang belum berpeluang menunaikan haji, ucapan ucapan talbiah yang kedengaran di corong television dan radio sudah pasti membangkitkan rasa rindu untuk turut bersama jemaah haji. Kuatkan azam dan perancangan, insyaAllah akan sampai juga ke tanah suci suatu hari nanti.

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah;
maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, 

maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.

 Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan,
 maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala,
 lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:158) |