Monday, October 29, 2012

belas kasihan pada haiwan

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah, minggu minggu yang berlalu usrah dirasakan sesuatu yang sangat berharga. Usrah menjadi tempat bermuhasabah dan menyuburkan kembali nilai nilai yang ingin diterapkan dalam individu muslim. InsyaAllah daripada kesan individu muslim ini akan mengubah keluarganya, seterusnya memberi kesan kepada masyarakat. Malah, kesan tarbiah bukan sahaja memberi rahmat kepada masyarakat sekeliling, haiwan dan alam juga turut merasa kesannya.




Antara perkara yang sering kita lihat di sekeliling kita ialah haiwan haiwan peliharaan. Janganlah kita sakiti mereka. Hendaklah memberi bantuan jika ada yang tercedera ataupun sakit.

Jika membela haiwan peliharaan, pastikan makanan dan airnya cukup supaya kita tidak mendapat dosa kerana menganiaya haiwan.



Monday, October 8, 2012

GBSian - berdakwah dengan seni fotografi

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah pada minggu ini sempat GBS menyertai program bengkel fotografi di Pulau Pinang. Tempat fotografi kali ini ialah di Empangan Mengkuang. SubhanaAllah tempatnya sungguh cantik terutama di awal pagi. Empangan Mengkuang sesuai untuk menjadi tempat mendapatkan gambar matahari naik yang cantik.

Bagi penggemar fotografi, mereka perlu sampai awal pagi. Seeloknya setengah jam selepas solat subuh. Jadi antara strategi GBSian ialah bertolak awal selepas solat subuh ataupun solat subuh berdekatan masjid.

InsyaAllah aktiviti seperti ini jika dilakukan berlandaskan Islam akan memberi banyak peluang untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam. Kita akan lebih mensyukuri nikmat penglihatan yang Allah kurniakan. Maka, pandanglah kita kepada ciptaan Allah disekeliling kita ini. Bukankah Allah mencipta penglihatan ini supaya kita lebih mengenal Allah?

Deria penglihatan yang Allah kurniakan sangat hebat. Apabila kita meningkat dewasa, deria ini semakin sensitif dan aktif. Pada pendapat GBSian, inilah yang menjadikan ramai orang minat kepada fotografi dan amat menghargai gambar gambar yang cantik. Sudah pasti kekaguman kita ini patut membawa kita kepada kekaguman kepada kuasa pencipta alam ini.


Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;
(Faatir 35:27

Friday, October 5, 2012

jom mengenal Allah

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah hidup kita ini berada dalam cahaya iman dan islam. Kita seharusnya menghargainya dan menjaganya. Menjaganya agar tidak dikotori dan dimasuki unsur unsur yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk kita lebih menghargai iman dan islam yang ada pada kita. Kita boleh melihat pada rakan rakan saudara baru yang memeluk Islam. Sesungguhnya, mereka memeluk Islam kerana melihat Islam itu cantik dan menjawab persoalan persoalan kehidupan.

Diantara persoalan besar tentang kehidupan ialah tentang pencipta alam dunia ini. Siapakah pencipta alam ini? Apakah dia lelaki atau perempuan? Adakah ada banyak pencipta alam ini? Sudah pasti soalan ini berlegar legar dalam kotak pemikiran dan perlukan kepada satu jawapan yang tepat.



Seorang saudara baru di Ireland telah memeluk Islam setelah sekian lama dibelenggu dengan permasalahan ini. Beliau mencari cari jawapan kepada pencipta dan penciptaan alam. Akhirnya belia menjumpai jawapan itu didalam surah yang selalu kita baca dan amat arif, iaitu surah Al Ikhlas.

1. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

3. "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

4. "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

GBSian boleh melihat sendiri rakaman video di pautan dibawah.
pautan: http://www.youtube.com/watch?v=GeWuI-BqsqA

Semoga dengan kita membantu saudara baru disekeliling kita, kita akan bertambah memahami dan menghargai Islam yang ada pada kita sebagai sesuatu yang sangat berharga.

Friday, September 14, 2012

Agar hati tidak mati

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah dalam dua minggu ini, GBSian kembali berusrah setelah bulan syawal. Semoga sepanjang bulan syawal ini, kita sudah dapat menunaikan ibadah puasa enam hari. Besar fadhilat berpuasa enam hari di bulan syawal.

Hati manusia perlu sentiasa di siram dengan peringatan dan nasihat supaya hati ini terus tenteram dan redha kepada Allah. Semoga hati kita ini semakin hari semakin dekat dengan Allah SWT.

Antara Tanda hati yang mati

Antara tanda hati yang mati ialah kita tidak mengamalkan sunnah Rasulullah tercinta dan mempertahankan Rasulullah. Hati yang hidup akan membenarkan sunnah Rasulullah dan sentiasa mengkaji kehidupan Rasulullah sebagai panduan kehidupan.

Antara sunnah Rasulullah yang besar ialah berdakwah. Oleh itu, umat islam hendaklah sentiasa berusaha untuk mengamalkan sunnah ini. Moga dengan mengamalkan dakwah kita akan lebih menghargai Islam yang dibawa Rasulullah.

Ketika Rasulullah dihina dan didusta



Sebagai seorang muslim, kita hendaklah berusaha menolak dan menentang penghinaan yang ditujukan kepada Rasulullah dan ahli keluarga baginda. Tohmahan yang dibuat hendaklah ditangani dengan hikmah dan berani. Jangan biarkan Rasulullah dihina. Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah terbukti dengan kita mengikut ajaran Islam dan mempertahankan kesucian Rasulullah dari dihina.

Berdoa agar Allah memberikan hati yang bersih

Kita hendaklah memohon kepada Allah SWT supaya diberikan hati yang bersih.Hati yang bersih sahaja yang dapat patuh kepada Allah dan Rasulullah. Hati yang bersih sahaja dapat menerima hidayah. Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Beruntunglah mereka yang mendapat cahaya hidayah daripada Allah.


Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(An-Nuur 24:35)

Friday, September 7, 2012

Kesan tarbiah ramadhan

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah S.W.T atas nikmat islam dan iman yang diberikanNya kepada kita. Bulan ramadhan yang lalu merupakan satu bulan tarbiah rohani untuk membentu jiwa dan peribadi muslim yang diinginkan Islam.

Didalam bulan ramadhan kita diperintahkan supaya berpuasa meninggalkan makan dan minum serta perkara lain yang membatalkan puasa. Disamping itu ibadah juga ditingkatkan dengan qiam, tilawah dan solat tarawikh. Justeru itu, kesan tarbiah ramadhan pasti menampakkan hasil pada bulan bulan bulan seterusnya.

Saranan

Beberapa saranan yang kita dapat lakukan selepas ramadhan sebagai penerusan tarbiah ramadhan ialah:

1. Puasa sunat isnin dan khamis
2. solat berjemaah di masjid
3. solat/ qiyam di tengah malam
4. menjauhi adat yang tidak bertepatan dengan islam atau bidaah
5. menjadi pemurah kepada fakir miskin


Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.
(Al-Baqarah 2:276)

6. menyambung silaturrahim terutama kepada saudara yang mempunyai pertalian darah
7. terus menghadiri majlis ilmu
8. berterusan melakukan taubat dan istighfar.


Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
(Al-Anfaal 8:33)

Semoga kita dapat sama sama meneruskan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah dan ajaran Islam tercinta :)

Wednesday, August 29, 2012

Empat tanggungjawab kepada Al Quran

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah, kini bulan ramadhan sudahpun berlalu, semoga amalan amalan kita diterima. Banyak aktiviti menarik yang dijalankan seperti qiam dan bersedekah disepanjang bulan puasa. InsyaAllah aktiviti aktiviti ini dapat diteruskan lagi.

Bulan ramadhan yang lalu menjadi medan tarbiah untuk kita semakin kerap berdamping dengan Al Quran. Bukan sekadar untuk dibaca dan dikhatam, malah untuk dihayati.

Disini beberapa nota yang dapat dikongsikan dari Qiyam Perdana yang GBSian ikuti ramadhan lalu.

Dua orang kanak kanak yang tidak melepaskan peluang
tilawah Al Quran di bulan ramadhan yang lalu :)


Tanggungjawab terhadap Al Quran
1. Tilawah ( membaca )
2. Hafal
3. Faham
4. Amal

InsyaAllah nanti akan dikongsikan juga mengenai kajian menarik ayat ayat al quran yang hampir sama tapi tak serupa :)

Tuesday, August 14, 2012

aktiviti GBS sepanjang ramadhan 1433 H

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah bulan ramadhan kali ini merupakan satu bulan yang sibuk dan penuh dengan aktiviti. Kita hendaklah menggunakan bulan ini sebaik baiknya untuk memperbanyakkan amalan.

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah berbuka puasa dan beriktikaf beramai ramai. Semoga usaha ini dapat menambahakn ukhuwwah dan semangat untuk beribadah.

Iktikaf Perdana Ikram Pulau Pinang, 10-12 Ogos

Pada minggu lepas, pertubuhan ikram telah mengadakan Iktikaf Perdana di Masjid Daerah Balik Pulau. Tujuan iktikaf ini ialah untuk menggalakkan orang ramai untuk menghidupkan sunnah iktikaf yang diamalkan Rasulullah pada 10 malam terakhir. Pada 10 malam terakhir, Rasulullah akan menghabiskan masa di masjid dan tidak bersama isteri isteri baginda. 10 malam terakhir digunakan sebaik mungkin untuk memperbanyakkan ibadah. Jadi, kita harus menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam menjalani ibadah puasa.

Banyak pengisian kuliah menarik yang dikongsikan semasa program Iktikaf perdana ini. Antaranya ialah ceramah oleh Dr Danial Zainal Abidin, Prof Roslan dan Ustaz Syazalie.

Pengisian menarik daripada Dr Danial.
Antara pengisian menarik yang disampaikan Dr Danial ialah bagaimana Al Quran meransang manusia supaya berfikir. Antaranya ialah didalam ayat ayat yang menyuruh manusia supaya memerhati alam sekeliling. Tidak mungkin alam ini bersistem tanpa sebarang pencipta.




Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Al-'Ankabuut 29:20)

Thursday, July 26, 2012

semoga ramadhan kali ini tidak rugi

Assalamualaikum buat semua,

Alhamdulillah pada hari pertama ramadhan, sempat GBSian menolong memasang banner/kain rentang untuk memberi orang ramai penghayatan ramadhan.

semoga ramadhan kali ini tidak rugi

Antara tempat untuk menggantung kain rentang yang sesuai ialah ditempat tumpuan ramai seperti di masjid atau di universiti. Semoga aktiviti seperti ini kita semarakkan lagi insyaAllah buat peringatan kepada diri dan masyarakat.

Amalan amalan cadangan

1. Memperbanyakkan sedekah sebanyak mungkin. Korbankan wang ringgit untuk memperbanyakkan sedekah dan mengurangkan perbelanjaan dapur. Kurangkan juga pembaziran.

2. Memperbanyakkan amalan membaca quran. Waktu yang sesuai seperti selepas solat subuh dan selepas tarawikh boleh digunakan untuk membaca dan bertadarus Al Quran.

3. Memperbanyakkan solat malam. Solat malam di bulan ramadhan mampu menjadi medan latihan supaya terus menjadi amalan di bulan bulan yang lain. Banyakkan berdoa kepada Allah di waktu ini.

Semoga kita sama sama beramal dan saling ingat memperingati.

Friday, July 20, 2012

aktiviti ziarah kubur

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah, minggu ini sempat melaksanakan aktiviti ziarah kubur,


ziarah kubur pada waktu malam mengingatkan kita tentang kematian kita yang pasti



Antara adab adab ziarah kubur
1. Memberi salam kepada penghuni penghuni kubur mukmin, InsyaAllah kita juga akan kembali ke tempat yang sama.
2. Tidak melangkah, duduk diatas kubur
3. Tidak digalakkan bermusafir semata mata untuk melawat kubur
4. Tidak membuat binaan atau tempat solat diatas kubur

Ziarah kubur sebagai peringatan buat diri

Apabila berada dikubur, banyak perkara yang diingati. Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Bagi orang yang beriman dan beramal soleh, kematian membawa kepada kesejahteraan yang kekal abadi. Namun, bagi yang kufur dan berdosa, kematian menambah keresahan dan azab kerana mereka bakal menerima balasan setimpal atas setiap perbuatan.

Nilai dunia
Didalam Al Quran banyak diterangkan tentang hakikat dunia. Dunia ini adalah satu tempat ujian dan permainan. Manusia akan diuji untuk melihat siapakah yang terbaik amalannya. Kesusahan mahupun kesenangan merupakan satu bentuk ujian daripada Allah. Maka bersabarlah dengan ujian, dan tetapkan pendirian agar teguh menambah amal kebajikan.



Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun".
(An-Nisaa' 4:77)

Wednesday, July 11, 2012

gbs production crew

Assalamualaikum,

insyaAllah ahli ahli GBS diberi tugasan untuk melaksanakan aktiviti aktiviti media. Antara tujuan media ialah memberi laporan tentang aktiviti aktiviti kebajikan dan setempat yang berlaku di Pulau Pinang.

Kelengkapan peralatan kamera dan video sudah tersedia. Jadi GBS sudah boleh memulakan tugasan rakaman.

GBS sedang menguji peralatan video yang baru diperolehi

GBS masih lagi kekurangan kakitangan untuk aktiviti media seperti rekabentuk poster dan pengeditan gambar. Bagi yang berminat menyumbang bolehlah tinggalkan komen untuk dihubungi.