Monday, August 5, 2013

malam malam terakhir ramadhan 1434H

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia di penghujung ramadhan ini. Banyak pengajaran dan muhasabah sepanjang bulan ramadhan ini perlu kita lakukan bagi memastikan kita melangkah keluar dari ramadhan sebagai orang orang yang menerima janji Allah seperti pengampunan dosa dosanya yang sudah berlalu dan akan datang.

Di malam malam terakhir ramadhan ini eloklah kita memperbanyakkan masa di masjid untuk beriktikaf. Masa masa ini sebenarnya sangat berharga dan tidak datang lagi melainkan diizinkan Allah. Hamba hambanya yang terus berharap akan berusaha mencari malam lailatul Qadar yang menjanjikan ganjaran yang lebih baik amalannya berbanding seribu bulan. Juga, ayuh teruskan amalan kebajikan yang masih boleh dilakukan seperti sedekah dan memberi makan orang berbuka puasa.

Disamping itu, tuntutan zakat fitrah juga hendaklah dilakukan segera. Semoga Allah menerima amalan kita.

Dimalam malam terakhir ini, kita juga mendengar berita sahabat sahabat seagama kita yang tertindas diserata dunia. Maka wajib kepada kita untuk membantu dengan daya upada kita. Antaranya ialah dengan memperbanyakkan doa. Sesungguhnya Allah itu dekat dan mendengar rintihan dan permintaan hambaNya.

Bagi mereka yang beriman dan bertakwa, mereka tidak berputus asa untuk meminta dan berdoa kepada Allah. Maka marilah kita bersama sama bersungguh sungguh dalam doa kita. Biarlah hati kita terkesan dengan doa yang kita baca.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); 
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu
Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Thursday, August 1, 2013

pecutan 10 hari terakhir ramadhan 1434H

Alhamdulillah ramadhan yang berlalu dan semakin meninggalkan kita. Namun bagi yang mencari keredhaan dan keampunan daripada Allah akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu ibadah yang dilakukan.

Antara amalan yang dilakukan Rasulullah di sepanjang 10 hari terakhir ramadhan ialah beriktikaf di masjid untuk menumpukan masa sepenuhnya kepada ibadah. Maka kita sebagai insan biasa hendaklah cuba mencontohi sunnah Rasulullah. Ganjaran yang dijanjikan disepanjang ibadah pada 10 malam terakhir amat besar.



Diantara ganjaran yang menanti bagi mereka yang tekun beribadah ialah malam lailatul Qadar. Ibadah pada malam lailatul Qadar adalah satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ibadah. Oleh itu hendaklah kita berusaha meningkatkan amal ibadah dan juga mengajak rakan rakan mencari malam lailatul Qadar. Semoga Allah pertemukan kita dengan malam yang sungguh istimewa ini.

InsyaAllah pada hari jumaat ini usrah GBS akan beriktikaf di Masjid Daerah Balik Pulau. Program dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Pulau Pinang. Banyak slot slot ceramah yang menarik untuk diikuti oleh para jemaah. Yuran yang dikenakan juga sangat minima. Para jemaah boleh datang mendengar ceramah dan turut sama beriktikaf.

Semoga program iktikaf ini dapat menjadi aktiviti yang dapat menyemarakkan lagi amalan iktikaf di sepuluh hari terakhir. Semoga Allah kurniakan kepada kita keampunan dan ketakwaan sebagai bekalan di bulan bulan seterusnya.