Friday, October 31, 2014

menyemarakan aktiviti ziarah

Alhamdulillah, GBS dapat bersiaran lagi pada minggu ini.

Diantara aktiviti didalam usrah ialah mengambil berat tentang saudara saudara yang lain. Aktiviti ziarah dapat merapatkan ukhuwwah. Dengan mengadakan ziarah kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang saudara kita.

Berkenalan dengan saudara kita bukan sekadar mengetahui nama dan latar belakang sahaja. Selain itu, kita dapat berkongsi perasaan dan juga menyatakan kasih sayang kita kepada saudara kita yang lain, mengetahui permasalahannya dan mengetahui keadaan semasa saudara kita.

Aktiviti ziarah ini memerlukan seseorang itu supaya tangkas untuk mengatur masa ziarah. Ziarah tidak harus dilengah lengahkan. Seharusnya ziarah sesama saudara menjadi satu kebiasaan. Namun, pada masa ini, aktiviti ziarah menjadi agak terbatas kerana kekangan tugas dan waktu.

Sebaik baiknya, kita merasa selesa untuk menerima ziarah saudara saudara kita. Ini kerana kesediaan menerima ziarah saudara saudara akan membuka lagi pintu rezeki kita dan merapatkan ukhuwwah. Ziarah yang didasari atas niat kerana Allah dan rasa ukhuwwah pasti menguatkan lagi ikatan persaudaraan yang sudah terjalin.

Namun, masa masa ziarah juga harus diambil kira supaya tidak mengganggu saudara kita. Diantara masa yang sesuai ialah waktu pagi dan tengah hari.

InsyaAllah dengan kerap kerap mengadakan ziarah, kita lebih mudah untuk mengatur aktiviti ziarah seterusnya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda :

"Terdapat enam hak Muslim ke atas seorang Muslim." 
Ditanyakan kepada Baginda, "Apakah ia wahai Rasulullah?" 
Baginda bersabda : 

"Apabila kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam kepadanya : 

apabila ia menjemput engkau, tunaikanlah jemputannya: 

apabila ia meminta nasihat daripada engkau, berilah nasihat kepadanya : 

apabila ia bersin kemudian ia memuji Allah, jawablah untuknya dengan mengatakan yarhamukallah (semoga Allah merahmati kamu) : 

apabila ia sakit, ziarahilah ia: apabila ia mati iringilah jenazahnya."

(Riwayat al-Bukhari)

pautan:
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=14186.15;wap2

Friday, October 24, 2014

Salam Maal Hijrah 1436

Alhamdulillah sambutan Maal Hijrah tahun 1436 akan tiba lagi. Tarikh ini boleh dijadikan sebagai tarikh untuk memperbaharui keazaman kita dan menilai bagaimana prestasi kita untuk tahun ini.

Sekiranya peningkatan peningkatan dan sumbangan kita terhadap agama belum mencapai tahap yang disasarkan. Maka, tarikh Maal Hijrah ini boleh dijadikan sebagai tarikh untuk menilai semula.

Kisah hijrah Rasulullah dari Kota Mekah ke Madinah merupakan satu kisah pengorbanan yang besar yang perlu dihayati oleh semua umat Islam. Rasulullah berhijrah untuk memastikan Islam dan dakwah lebih subur.

Pengorbanan Rasulullah dan para sahabat mengharungi cabaran penghijrahan hendaklah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk kita meneruskan lagi usaha dakwah. Mereka meninggalkan harta harta demi memastikan Islam terus berkembang. Semoga usaha usaha kita akan mendapat redha Allah. Pastikan niat kita berada di atas landasan yang betul iaitu kerana Allah.

Sebagaimana hadith Rasulullah,

” Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ”
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : – ‘ Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. 
Setiap orang dinilai dengan niatnya. 

Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. 

Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.”
 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

pautan: http://cahayapurnama.com/hadis-pertama/

Tuesday, October 14, 2014

muhasabah hari raya aidil adha 1435H

Alhamdulillah, hari raya aidil adha tahun ini disambut dengan meriah di seluruh negara.

Bagi yang berkemampuan, ibadah korban dilakukan. Daging daripada sembelihan korban disedekahkan dan diberi kepada fakir miskin. Disamping itu, ibadah korban juga dapat merapatkan hubungan diantara pelbagai lapisan masyarat dan hubungan kekeluargaan. Masyarakat Islam bersama sama melaksanakan korban dan menjayakan ibadah korban dengan sama sama membantu proses ibadah korban dari mula sehingga akhir dan pengagihan daging korban.

Hari raya aidil adha juga menanda berakhirnya ibadah haji. Para muslimin dan muslimat yang dijemput Allah menunaikan haji akan melakukan tawaf, sai, bermalam di Arafah, dan melontar. Didalam ibadah korban dan haji terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarga baginda dalam menuruti perintah Allah. Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail redha dan sabar dengan perintah Allah supaya Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail. Akhirnya, Allah mengantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas pada saat akhir hendak dilakukan korban terhadap Nabi Ismail dan Allah menerima pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim.


Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah
tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. 

Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
(Al-Hajj 22:37)

Sesungguhnya, hendaklah kita juga meletakkan diri kita dapat suasana pengorbanan. Islam mengajak umatnya berkorban untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Suasana pengorbanan juga menjadikan umat Islam lebih peka dengan masalah umat Islam disekeliling. Bagi mereka yang patuh, Allah pasti akan mengganjari mereka dengan balasan yang lebih baik.

Merancang untuk melaksanakan ibadah korban
Ibadah korban memerlukan kos yang semakin tinggi untuk dilakukan pada masa kini. Namun, ini tidak menghalang kita untuk melakukan ibadah korban setiap tahun. Dengan perancangan yang baik, jumlah wang yang cukup dapat dikumpul untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban.

Diantara caranya ialah dengan mengumpul wang secara berkala. Jika dapat dilakukan penyimpanan setiap hari dan bulan, maka jumlah terkumpul boleh dijadikan wang untuk menjalankan ibadah korban. Oleh itu, hendaklah kita cuba merancang untuk melaksanakan ibadah korban. Dimana ada kesungguhan, insyaAllah akan dipermudahkan. Semoga Allah menganjari usaha dan pengorbanan kita.


Monday, September 22, 2014

menjadikan surah al kahfi sebagai amalan mingguan

Alhamdulillah, usrah gbs masih lagi dapat meneruskan ruangan perkongsian. Surah Al Kahfi merupakan surah yang mendapat nama daripada kisah sekumpulan pemuda yang beriman kepada Allah SWT. Mereka memohon perlindungan kepada Allah daripada pemerintah yang zalim.

Surah ini disarankan menjadi bacaan mingguan kerana didalam satu hadis Rasulullah menyarankan sahabat Rasulullah membaca sepuluh ayat terawal surah al kahfi untuk mendapat perlindungan daripada fitnah Dajjal.

Oleh itu, hendaklah kita berusaha menjadikan bacaan surah al kahfi sebagai amalan mingguan kita. Apabila sudah selesa dengan membaca sepuluh ayat awal surah al kahfi. Bolehlah kita cuba menghafal ayat ayat ini. Kemudian, diteruskan dengan menghayati maksud sepuluh ayat yang dibaca. Semoga ayat ayat ini mampu menggetarkan jiwa supaya meletakkan pengharapan kita kepada Allah SWT.

Banyak lagi kisah yang menjadi teladan didalam surah ini untuk kita hayati. InsyaAllah sama sama kita istiqamah dalam beramal dan sebarkan kepada rakan rakan yang lain.

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
(Al-Kahfi 18:9)

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: 
"Wahai Tuhan kami! 

Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, 

dan berilah kemudahan-kemudahan 

serta pimpinan kepada kami 

untuk keselamatan agama kami".
(Al-Kahfi 18:10)

Tuesday, September 9, 2014

selamat menunaikan haji

Alhamdulillah, musim haji tiba lagi bagi tahun 1435 Hijrah. Bagi yang menerima giliran haji tahun ini, sesungguhnya ini adalah satu jemputan yang istimewa daripada Allah.

Bagi yang belum menunaikan haji, hendaklah kita meletakkan keazaman untuk menunaikan haji sebelum kita dijemput kembali kepada Allah. Hendaklah kita melalukan perancangan dan melaksanakan tindakan untuk membolehkan kita menunaikan haji. Disebabkan kouta haji yang terhad, adalah digalakkan supaya mendaftar haji awal supaya kita dapat menunaikan haji ketika keringat masih banyak.

Perancangan seperti menyediakan simpanan wang secukupnya boleh dilakukan mulai sekarang. InsyaAllah dengan keazaman, niat dan usaha kita, Allah akan memudahkan urusan urusan kita untuk menunaikan haji.

Persediaan ruhi juga jangan ditinggalkan, biarlah kita istiqamah dengan amalan amalan sunat seperti tilawah dan qiyam supaya menjadi kebiasaan nanti di tanah suci. Dengan ini, diharapkan diri para jemaah haji pergi dengan hati yang sentiasa mengingati Allah.

Disamping itu, persediaan fizikal juga boleh dilakukan untuk memastikan badan sihat untuk menunaikan haji kerana ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal yang banyak seperti bertawaf dan bersaei. Semua persediaan ini, dilakukan dengan harapan Allah memudahkan urusan menunaikan haji.

Ujian dan dugaan pasti akan menemui para jemaah haji di sana. Hendaklah sentiasa mengingati Allah dan bersabar. Dengan banyak bersabar, kita dekat dengan Allah InsyaAllah.

Bagi yang belum berpeluang menunaikan haji, ucapan ucapan talbiah yang kedengaran di corong television dan radio sudah pasti membangkitkan rasa rindu untuk turut bersama jemaah haji. Kuatkan azam dan perancangan, insyaAllah akan sampai juga ke tanah suci suatu hari nanti.

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah;
maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, 

maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.

 Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan,
 maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala,
 lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:158) |

Friday, August 8, 2014

muhasabah syawal 1435H

Alhamdulillah kita diberi kesempatan lagi untuk melalui bulan Ramadhan dan bertemu dengan Syawal. Semoga dengan izin Allah dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Semoga dengan tempoh latihan selama sebulan di madrasah ramadhan dapat membina keimanan dan ketakwaan.

Seperti yang kita ketahui, umat islam di Gaza terpaksa menghadapi suasana aidil fitri dan syawal dalam keadaan serangan tentera Israel. Serangan serangan ini tidak pula melemahkan umat islam sebaliknya menimbulkan kegusaran dan takut kepada para penentang agama Allah. Umat Islam semakin yakin dengan janji Allah dan tetap pada jalan dan pegangan mereka.

Para penentang agama Allah ingin melihat Islam terkubur dengan segala perancangan licik mereka. Namun, sejarah telah membuktikan Islam terus berkembang subur disebalik segala bentuk penindasan yang berlaku. Allah akan membantu hambanya yang ikhlas berjuang dan berdoa kepadaNya.

Banyak peristiwa seperti peperangan Ahzab dan Ain Jalut menjadi saksi bahawa Allah sentiasa bersama hamba hambanya yang sabar dan tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja.

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, 
berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
(Al-Ahzaab 33:22)


Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam);
maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), 
dan di antaranya ada yang menunggu giliran;
dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
(Al-Ahzaab 33:23

Memperbaiki diri sendiri

Sebelum kita melangkah lebih jauh didalam medan perjuangan, kita hendaklah mempersiapkan bekalan iman dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Usaha kita dalam perjuangan menegakkan agama Allah tanpa hubungan yang baik dengan Allah menyebabkan doa doa kita tidak diterima Allah. Hendaklah kita melihat balik bagaimana kita melaksanakan perintah Allah dan bagaimanakah kekerapan kita bertahajjud dan mendekatkan diri kepada Allah.

Usaha usaha muhasabah ini menjadi lebih mudah apabila dilakukan didalam usrah dimana kita saling ingat mengingati dan mewujudkan suasana yang kondusif untuk melaksanakan perintah Allah.

Wednesday, July 23, 2014

jom menyumbang untuk Gaza

Didalam keadaan sekarang bumi Gaza di serang lagi. Serangan masih lagi berterusan oleh regim zions sehingga ke saat ini. Kebanyakan mangsa terdiri daripada orang awam termasuk kanak kanak yang tidak berdosa.

Rumah rumah di bom dengan menggunakan pesawat. Hospital dan tempat awam turut di bom dengan tujuan untuk melumpuhkan kemudahan awam. Namun, semangat juang rakyat Palestin tetap utuh demi mempertahankan tanah air tercinta. Mereka mengharapkan doa dan bantuan daripada saudara saudara mereka diluar sana.

Untuk itu, hendaklah kita cuba untuk membantu sedaya upaya yang boleh. Diantaranya dengan menghulurkan wang derma kepada Aqsa Syarif yang giat membantu saudara saudara Islam yang tertindas.




Akaun sumbangan Aqsa Syarif ialah:

Maybank Islamic | 551575-004299
Bank Islam | 1209-20100-34904

Sesungguhnya kekejaman disana adalah satu ujian bagi semua. Kita di Malaysia uji Allah samaada kita prihatin terhadap penderitaan saudara kita disana. Kita akan bertemu dengan Maha Pencipta Allah dan menjawab dihadapanNya nanti.

Oleh itu, teruskan menyumbang, kerana antara tanda aras taqwa ialah prihatin terhadap nasib saudaranya. Begitulah kekuatan ukhuwwah saudara seagama, tidak akan merasa senang dengan kekejaman yang diperlakukan terhadap saudara saudara seagama.

Semoga kita merenung maksud ayat ayat dibawah:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(A-li'Imraan 3:92)

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
(A-li'Imraan 3:169)

Friday, July 4, 2014

ramadhan masa untuk meningkatkan amal kebajikan

Alhamdulillah sudah hampir seminggu ramadhan tahun 1435H, pada masa ini ibadah puasa yang dilakukan disamping galakan melaksanakan kebajikan.

Banyak aktiviti kebajikan yang boleh dilakukan seperti memberi makan orang berbuka puasa, sedekah, melawat rumah kebajikan dan menyumbang untuk saudara saudara kita yang memerlukan.

Didalam Al Quran, Allah memberi galakan untuk kita melaksanakan kebajikan. Kebajikan yang dilaksanakan dengan hasil yang terbaik akan diganjari Allah dengan kebaikan yang lebih baik di akhirat. Sesungguhnya bagi yang mengejar janji Allah, mereka merasa terpanggil untuk melaksanakan kebajikan samaada dalam keadaan senang atau sudah.

Ayuh didik diri kita untuk sentiasa melaksanakan kebajikan. Moga Allah terima amalan kita sebagai salah satu usaha kita mencari redha Allah.

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) 
sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. 

Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(A-li'Imraan 3:92)

Friday, June 27, 2014

ramadhan datang lagi, 1435 Hijrah

Alhamdulillah GBSian dapat bersiaran lagi sebelum datangnya ramadhan pada tahun ini. Ramadhan akan menjadi ruang untuk kita mendapat ganjaran besar atas amalan amalan yang kita lakukan. Dibulan ini juga menjadi peluang untuk kita lebih dekat kepada Allah dengan penuh pengharapan agar segala amalan puasa dan kebajikan yang dilakukan diterima dan diredhai Allah.

Pada bulan ini juga, hendaklah kita memperbanyakkan lagi aktiviti aktiviti ibadah. Hendaklah kita mengingati kisah kisah perjuangan masa lalu dan kini yang berlaku pada bulan ramadhan. Lapar dan dahaga tidak menghalang usaha usaha dakwah. Sebaliknya dakwah terus bergerak laju dibulan ramadhan ini.

Didalam bulan ramadhan yang akan datang ini juga, kita perlu menggalakkan tilawah Al Quran. InsyaAllah dengan latihan ramadhan, tilawah Al Quran akan menjadi rutin harian pada bulan bulan berikutnya. Kita hendaklah juga semakin yakin bahawa Al Quran adalah kalamullah yang suci.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,
 menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
 dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

 Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu
dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
 Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan,
dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
(Al-Baqarah 2:185)

Tuesday, June 3, 2014

tawaran jual beli dari Maha Pencipta

Alhamdulillah, GBSian dapat menulis lagi pada kali ini. Tazkirah yang disampaikan dimasjid masjid banyak membantu kita lebih menghayati ayat ayat Al Quran. Sesungguhnya, seorang yang beriman seharusnya banyak masa berdamping dengan Al Quran. Didalamnya, mengandungi ayat ayat yang menguatkan dan menguji keimanan. Ayat ayat Al Quran membezakan antara yang beriman dan yang kufur.

Kehidupan dunia ini adalah satu ujian didalam apa jua keadaan yang terjadi kepada kita. Kesenangan atau kesusahan adalah satu bentuk ujian. Setiap kita tidak pernah terlepas daripada diuji. Sesungguhnya kita memerlukan teman atau usrah untuk membantu kita berada dalam suasana yang ingat mengingati. Jika tidak, kita akan terlalai.

Didalam surau At Taubah, Allah mengingatkan kita tentang ciri orang beriman dan bagaimana Allah menawarkan satu janji jual beli yang menguntungkan orang yang beriman.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
 (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. 

(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran;

 dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah?

Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu,

dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(At-Taubah 9:111)

Jual beli yang ditawarkan Allah menjanjikan balasan yang sangat besar. Tetapi memerlukan pengorbanan awal yang hanya boleh dilaksanakan oleh mereka yang yakin dan beriman. Begitulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat sahabat serta pejuang Islam yang terdahulu. Mereka mengorbankan banyak kesenangan untuk mengejar janji Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyempurna janjiNya.

Didalam ayat yang seterusnya Allah menerangkan ciri ciri orang yang beriman. Moga kita sama sama merenungi maksud ayat ini untuk muhasabah kita bersama.

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat,
 yang beribadat,
 yang memuji Allah, 
yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), 
yang rukuk, yang sujud, 
yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, 
serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
(At-Taubah 9:112)

pautan:
http://www.surah.my/9

Friday, May 9, 2014

janji Allah pada yang membela agamaNya

Alhamdulillah usrah GBS dapat bersiaran lagi.

ayat untuk direnungi pada kali ini ialah dari surah Al Ahzab. Allah menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang membela agamaNya.

Membela agama tidak semestinya hanya berlaku semasa mengangkat senjata didalam keadaan peperangan. Membela agama juga termasuk mereka yang berusaha memastikan agama Islam menjadi cara hidup didalam dirinya, keluarga dan masyarakat.

Oleh itu, hendaklah kita mengambil peluang untuk mendalami islam dan menyampaikan islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para sahabat terdahulu. Begitu juga terdapat banyak contoh perjuangan masa kini yang boleh dicontohi seperti imam Hassan Al Banna di Mesir, Hamka dan juga ulama ulama di nusantara dahulu yang tekun menyebarkan Islam.

Hendaklah kita cuba untuk menjadi contoh dan teladan muslim yang baik. Semoga kita dapat meraih janji Allah yang disediakan kepada orang orang yang beriman.

Di antara orang-orang yang beriman itu, 
ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); 
maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid),

 dan di antaranya ada yang menunggu giliran

dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Al-Ahzaab 33:23)

Pautan: http://www.surah.my/33

Friday, May 2, 2014

perbezaan kematian bagi yang beriman dan kufur

Alhamdulillah, Al Quran adalah satu mukjizat yang besar yang Allah berikan kepada Rasulullah untuk membuktikan tentang kebenaran ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Didalamnya terdapat kisah kisah bagaimana perbezaan reaksi golongan yang kufur dan ingkar tidak mahu mengimani tentang risalah yang dibawa oleh Rasulullah.

Ketajaman akal manusia tidak dapat melangkaui alam kematian. Tiada orang yang mati dapat bangun daripada kubur melainkan dengan izin Allah untuk menceritakan perihal yang berlaku di alam selepas kematian.

Bagi yang menganggap kematian sebagai pengakhiran bagi segala galanya. Kehidupan dunia boleh menjadi sesuatu yang gelisah kerana semakin hampir dengan usia tua, semakin hilang segala nikmat dunia. Sedar tidak sedar kita sudah mula meninggalkan dunia kerana banyak nikmat sudah hilang. Begitulah yang digambarkan didalam Al Quran reaksi mereka yang kufur.

"Mati, hanyalah mati kita yang pertama (di dunia), dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);
(Ad-Dukhaan 44:35)

"(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!"
(Ad-Dukhaan 44:36)

Bagi yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh, dunia menjadi tempat untuk menempah dan mencari redha Allah. Ujian yang mendapat dihadapi dengan tabah. Kesenangan atau kesusahan sebenarnya adalah satu ujian daripada Allah. Mereka yakin akan kembali kepada maha pencipta.

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;
 dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;
(Ad-Dukhaan 44:56) 

(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.
(Ad-Dukhaan 44:57)

Friday, April 25, 2014

misi mencari redha Allah dalam kehidupan

Alhamdulillah GBSian dapat meneruskan lagi sesi peringatan. InsyaAllah antara ayat ayat menarik yang ingin dikongsi ialah ayat 100, surah At Taubah,


Dan orang-orang yang terdahulu -
yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar"
dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat),

 Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, 

serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
 mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; 
itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah 9:100)

Didalam ayat ini Allah menjanjikan ganjaran yang besar dan terbaik kepada mereka yang  yang mengikuti perintah Allah secara keseluruhan sepertimana yang dijanjikan kepada golongan terdahulu dari kalangan muhajirin dan Ansar. 

Oleh itu hendaklah kita mengkaji dan memahami sirah perjalanan dakwah Nabi dan para sahabat. Hendaklah kita mengambil pengajaran dalam pembinaan keimanan dan ukhuwwah yang ditunjukkan para sahabat yang terdahulu. Juga, hendaklah kita menghayati perjuangan Rasulullah dan para sahabat menyebarkan Islam.

Kesungguhan dan keimanan mereka membawa cahaya hidayah ke seluruh pelusuk Alam. Hasil daripada keyakinan dan keimanan ini, didalam tempoh kehidupan sahabat sahabat ini, kita dapat melihat mereka sudah menyebarkan dakwah sehingga ke China, India dan serta pelusuk dunia yang mampu dicapai oleh mereka.

Yakinlah kita bahawa Allah menggantikan harta, diri, tenaga dan masa kita yang dikorbankan kejalan Allah dengan ganjaran yang terbaik. Maka, berusahalah mencari redha Allah dengan berusaha menjadi muslim sebaiknya dan mengajak orang lain kearah kebaikan.


Monday, April 14, 2014

rakan sehingga ke syurga

Alhamdulillah persahabatan rakan rakan GBS terus dibina dari hari ke hari. Dan persahabatan berdasarkan ikatan ukhuwwah kerana Allah SWT menghasilkan persahabatan yang tidak putus sehingga ke syurga.

Persahabatan yang dibina diatas dasar taqwa adalah persahabatan yang sejati. Sahabat mengambil berat tentang keadaan sahabat yang lain. Memberi nasihat dan teguran yang ikhlas kerana Allah untuk kebaikan bersama. Sahabat yang tidak mengambil kesempatan dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabat yang lain.

Persahabatan yang dibina atas dasar keduniaan adalah satu persahabatan yang rapuh. Nilai seorang rakan yang dibina atas dasar sebegini biasanya runtuh apabila diuji dengan masalah kebendaan. Masing masing lebih memikirkan tentang diri sendiri berbanding orang lain.

Semoga kita akan berada didalam kelompok yang sayang menyayangi kerana Allah dan Rasululullah. Melakukan kerja bersama untuk mencapai redha Allah.

Sesungguhnya persahabatan dan perhubungan kita semasa manusia akan dinilai. Sesungguhnya orang yang bijak melakukan penilaian terhadap hubungannya sendiri sebelum dia dihitung amal didepan Allah.

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: 
setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, 
kecuali orang-orang yang persahabatannya 
berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
(Az-Zukhruf 43:67)

Tuesday, March 18, 2014

Alhamdulillah, hujan mulai turun

Alhamdulillah hujan mulai turun di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Jika diperhatikan dan renung kembali betapa peritnya apabila hujan tidak turun selama beberapa bulan. Ramai yang menderita dan terpaksa menghadapi catuan bekalan air.

Begitu juga dengan lanksap bumi Malaysia juga bertukar dengan ketiadaan hujan. Bumi menjadi kering kontang dan bukit yang hijau menjadi kering dan kekuningan. Banyak kawasan yang mengalami kejadian kebakaran hutan. Selanjutnya jerebu melanda.

Disebalik musibah yang melanda, terdapat manusia yang insaf dan segera memohon ampun dan pertolongan kepada Allah. Namun begitu, ada juga manusia yang terlupa dan terus lalai.

Dengan rahmat Allah yang melebihi kemurkaanNya, Allah menurunkan kembali hujan, membasahkan kembali bumi yang kontang, menyegarkan suasana yang sebelum ini berbahang dan berhabuk. Begitulah kekuasaan Allah dalam mengawal alam ini. Manusia yang angkuh dan bongkak menjadi lemah walaupun dikelilingi dengan pelbagai teknologi pembuatan hujan dan sebagainya. Hanya Allah sahaja yang mampu memberi rahmat dan rezeki kepada setiap makhluknya. Ini membuktikan kekuasaan Allah, malah Allah mampu menukarkan sebuah kawasan yang sangat subur sebelumnya menjadi kawasan yang kering kontang serta tandus.

Bagi yang beriman, penurunan hujan menguatkan lagi keimanan mereka. Namun, bagi yang angkuh, penurunan hujan tidak memberi kesan dan keinsafan. Malah mereka terus lalai dalam lautan kesibukan dunia.

Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, -
(An-Naba' 78:14

Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, -
(An-Naba' 78:15)

Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
(An-Naba' 78:16)

pautan:
http://www.surah.my/78

Sunday, March 9, 2014

apabila berhajat kepada sesuatu, cermin diri dan minta ampun kepada Allah

Alhamdulillah GBSian dapat lagi meneruskan siaran pada kali ini. Pada masa sekarang kita berhadapan dengan cuaca yang panas. Banyak tempat yang dilanda kemarau dan penduduk dilanda kesulitan untuk mendapatkan bekalan air.

Sesungguhnya, hendaklah kita menerima ini sebagai satu ujian daripada Allah. Hendaklah kita melihat kepada apa yang telah dilakukan sehingga menyebabkan krisis kekurangan air. Sebagaimana kita ketahui, banyak kawasan hutan yang ditebang dan pencemaran sungai sungai akibat tangan manusia sendiri. Akibatnya, air yang sepatutnya jernih telah tercemar. Pemandangan yang sepatutnya hijau kini kering dan cacat. Allah pasti akan mempertanggungjawabkan kita atas segala amalan kita.

Seharusnya sebagai umat islam, kita diberi tanggungjawab oleh Allah untuk mengurus tadbir alam ini dengan sebaiknya. Kelekaan dan kealpaan kita dalam mengejar habuan dunia menyebabkan musibah melanda manusia sendiri.

Kesan dan impak perbuatan kita bukan sahaja menyusahkan masyarakat zaman ini. Malah mungkin menjejaskan kehidupan anak dan cucu pada masa hadapan. Oleh itu, berfikirlah supaya hasil tangan kita pada ketika ini membawa kebaikan kepada dunia walaupun sesudah kita meninggalkan dunia yang fana ini. Jangan biarkan kita menyusahkan kehidupan orang lain apabila kita sudah tiada.

Maka aku katakan kepada mereka: 
'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu
sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, 
niscaya Dia akan mengirimkan 
hujan kepadamu dengan lebat , '
dan membanyakkan harta 
dan anak-anakmu
dan mengadakan untukmu kebun-kebun 
dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (QS. Nuh: 10-12)

Oleh itu, sudah tibanya masa kita untuk membuat pembetulan yang wajar supaya kita boleh menjawab dihadapan Allah bahawa kita menyesal dan melakukan yang terbaik untuk menjaga alam ini.

Monday, February 17, 2014

sepuluh wasiat as syahid imam hassan al banna

Pada tanggal 12 Februari yang lalu, sudah 65 tahun kesyahidan imam hassan al banna. Beliau merupakan seorang pejuang islam yang ikhlas berjuang.

Usaha usaha yang dilakukan beliau memberi impak yang besar kepada gerakan islam dan mewujudkan sistem pentarbiahan usrah yang digunakan sehingga kini.

Imam Hassan Al Banna banyak menulis dan memberi pendapat. Antara hasil usaha beliau ialah 10 wasiat. Wasiat ini sangat berguna kepada pendakwah dalam menghadapi cabaran dan mengukuhkan keyakinan terhadap agama Islam.

  1. Bangunlah segera untuk melakukan sholat apabila mendengara adzan walau bagaimanapun keadaannya.
  2. Baca, Telaah dan dengarkan Al-Quran atau dzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau menghambur-hamburkan waktumu dalam masalah yang tidak ada manfaatnya.
  3. Bersungguh-sungguhlah untuk berbicara dalam bahasa Arab dengan fasih.
  4. Jangan memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang pembicaraan sebab hal ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan.
  5. Jangan banyak tertawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (dzikir) adalah tenang dan tentram.
  6. Jangan bergurau karena umat yang berjihad tidak berbuat kecuali dengan bersungguh-sungguh terus-menerus.
  7. Jangan mengeraskan suara di atas suara yang diperlukan pendengar, karena hal ini akan mengganggu dan menyakiti.
  8. Jauhilah dari membicarakan kejelekan orang lain atau melukainya dalam bentuk apapun dan jangan berbicara kecuali yang baik.
  9. Berta’aruflah dengan saudaramu yang kalian temui walaupun dia tidak meminta, sebab prinsip dakwah kita adalah cinta dan ta’awun (kerja sama).
  10. Pekerjaan rumah kita sebenarnya lebih bertumpuk dari pada waktu yang tersedia, maka manfaatkanlah waktu dan apabila kalian mempunyai sesuatu keperluan maka sederhanakanlah dan percepatlah untuk diselesaikan.
Sesungguhnya tugas kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Maka gunakanlah masa dengan sebaik baiknya dalam menjadi hamba Allah dan meneruskan risalah dakwah yang dibawa oleh Rasulullah tercinta.

semoga kita menghayati ayat Alquran ini,

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; 

bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa)
tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
(Al-Baqarah 2:154)

pautan:
http://www.surah.my/2
http://www.eramuslim.com/berita/tahukah-anda/10-wasiat-imam-hasan-al-banna.htm#.UwGbX2KSyH4
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/25626-mengingati-syahidnya-hassan-al-banna

Friday, February 14, 2014

persiapan bertemu ramadhan 1435 Hijrah

Alhamdulillah ramadhan akan datang lagi dalam beberapa bulan,

sebelum kedatangan bulan ramadhan, seharusnya kita melihat kembali keadaan amalan kita. Adakah amalan dan ibadat kita melambangkan hasil daripada tarbiah ramadhan yang dilakukan sebelum ini.

Semoga kita tidak menjadi sebahagian yang dilabel sebagai hamba ramadhan. Dalam erti ibadatnya hanya fokus pada bulan ramadhan sahaja. Pada bulan bulan yang lain, ibadahnya tidak dan sepi. Seharusnya ramadhan menjadi tempat latihan dan bulan bulan yang lain menjadi bukti latihan ramdhan itu berkesan.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah seperti berikut:

1. puasa sunat isnin dan khamis
puasa sunat isnin dan khamis membantu kita untuk bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bertemu dengan ramadhan tahun ini. aktiviti berbuka secara berkumpulan dapat dilakukan. insyaAllah akan menambah semangat dan ukhuwwah sesama ahli usrah.

Sesungguhnya banyak pengajaran seperti melatih sifat sabar. Disamping itu, wang yang sepatutnya digunakan untuk makan tengah hari boleh ditabungkan dan didermakan kepada yang memerlukan seperti saudara kita di Syria yang kebuluran akibat peperangan.

2. qiyamullail
awal awal tahun waktu subuh masuk agak lewat. Jadi seharusnya kesempatan ini membolehkan kita bangun seperti biasa dan ada waktu yang banyak untuk diisi dengan solat malam dan bacaan al quran.

3. bacaan al quran
bacaan al quran hendaklah konsisten sebagaimana kita melakukan dengan tekun pada ramadhan yang lalu. Ambillah jumlah yang mudah dahulu seperti sehelai setiap waktu. Kemudian beransur ansur meningkat kepada suku juzu', setengah juzu' dan satu juzu' sehari. Disamping itu, hendaklah kita menghayati maksud ayat ayat yang kita baca semoga bacaan kita bertambah berkat.

InsyaAllah akan dikemaskini dengan ayat ayat Al Quran untuk menaikkan semangat menambah amal ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah dalam memperjuangkan dan menyebarkan Islam tercinta.

Thursday, January 16, 2014

street dakwah, satu cara mengisi cuti maulidur rasul

Alhamdulillah, pada cuti maulidurrasul yang lepas, GBSian sempat menyertai aktiviti street dakwah anjuran Islamic Propagation Society ( IPSI ) dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Pulau Pinang.

Aktivti bermula dengan sesi penerangan di Masjid USM pada jam 9 pagi. Program ini berjaya menarik seramai 200 orang sukarelawan untuk membantu melakukan street dakwah. Para peserta diberi penerangan oleh staff IPSI. Antara metodologi dakwah yang dikongsikan ialah teknik bertemu dengan masyarakat bukan islam.







Para peserta akan memberi risalah dan penerangan kepada masyarakat bukan Islam tentang sambutan hari maulidurrasul. Pelbagai reaksi dan penerimaan masyarakat yang akan menambah pengalaman dakwah para peserta.

InsyaAllah akan dikongsikan lagi maklumat pada lain kesempatan.

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) 
dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
(Al-Baqarah 2:119)

pautan:
http://www.facebook.com/IslamicPropagationSocietyInternational
http://www.facebook.com/pages/Pertubuhan-Ikram-Malaysia-Negeri-Pulau-Pinang/