Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Tuesday, October 14, 2014

muhasabah hari raya aidil adha 1435H

Alhamdulillah, hari raya aidil adha tahun ini disambut dengan meriah di seluruh negara.

Bagi yang berkemampuan, ibadah korban dilakukan. Daging daripada sembelihan korban disedekahkan dan diberi kepada fakir miskin. Disamping itu, ibadah korban juga dapat merapatkan hubungan diantara pelbagai lapisan masyarat dan hubungan kekeluargaan. Masyarakat Islam bersama sama melaksanakan korban dan menjayakan ibadah korban dengan sama sama membantu proses ibadah korban dari mula sehingga akhir dan pengagihan daging korban.

Hari raya aidil adha juga menanda berakhirnya ibadah haji. Para muslimin dan muslimat yang dijemput Allah menunaikan haji akan melakukan tawaf, sai, bermalam di Arafah, dan melontar. Didalam ibadah korban dan haji terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarga baginda dalam menuruti perintah Allah. Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail redha dan sabar dengan perintah Allah supaya Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail. Akhirnya, Allah mengantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas pada saat akhir hendak dilakukan korban terhadap Nabi Ismail dan Allah menerima pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim.


Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah
tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. 

Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
(Al-Hajj 22:37)

Sesungguhnya, hendaklah kita juga meletakkan diri kita dapat suasana pengorbanan. Islam mengajak umatnya berkorban untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Suasana pengorbanan juga menjadikan umat Islam lebih peka dengan masalah umat Islam disekeliling. Bagi mereka yang patuh, Allah pasti akan mengganjari mereka dengan balasan yang lebih baik.

Merancang untuk melaksanakan ibadah korban
Ibadah korban memerlukan kos yang semakin tinggi untuk dilakukan pada masa kini. Namun, ini tidak menghalang kita untuk melakukan ibadah korban setiap tahun. Dengan perancangan yang baik, jumlah wang yang cukup dapat dikumpul untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban.

Diantara caranya ialah dengan mengumpul wang secara berkala. Jika dapat dilakukan penyimpanan setiap hari dan bulan, maka jumlah terkumpul boleh dijadikan wang untuk menjalankan ibadah korban. Oleh itu, hendaklah kita cuba merancang untuk melaksanakan ibadah korban. Dimana ada kesungguhan, insyaAllah akan dipermudahkan. Semoga Allah menganjari usaha dan pengorbanan kita.


Friday, August 8, 2014

muhasabah syawal 1435H

Alhamdulillah kita diberi kesempatan lagi untuk melalui bulan Ramadhan dan bertemu dengan Syawal. Semoga dengan izin Allah dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Semoga dengan tempoh latihan selama sebulan di madrasah ramadhan dapat membina keimanan dan ketakwaan.

Seperti yang kita ketahui, umat islam di Gaza terpaksa menghadapi suasana aidil fitri dan syawal dalam keadaan serangan tentera Israel. Serangan serangan ini tidak pula melemahkan umat islam sebaliknya menimbulkan kegusaran dan takut kepada para penentang agama Allah. Umat Islam semakin yakin dengan janji Allah dan tetap pada jalan dan pegangan mereka.

Para penentang agama Allah ingin melihat Islam terkubur dengan segala perancangan licik mereka. Namun, sejarah telah membuktikan Islam terus berkembang subur disebalik segala bentuk penindasan yang berlaku. Allah akan membantu hambanya yang ikhlas berjuang dan berdoa kepadaNya.

Banyak peristiwa seperti peperangan Ahzab dan Ain Jalut menjadi saksi bahawa Allah sentiasa bersama hamba hambanya yang sabar dan tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja.

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, 
berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
(Al-Ahzaab 33:22)


Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam);
maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), 
dan di antaranya ada yang menunggu giliran;
dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
(Al-Ahzaab 33:23

Memperbaiki diri sendiri

Sebelum kita melangkah lebih jauh didalam medan perjuangan, kita hendaklah mempersiapkan bekalan iman dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Usaha kita dalam perjuangan menegakkan agama Allah tanpa hubungan yang baik dengan Allah menyebabkan doa doa kita tidak diterima Allah. Hendaklah kita melihat balik bagaimana kita melaksanakan perintah Allah dan bagaimanakah kekerapan kita bertahajjud dan mendekatkan diri kepada Allah.

Usaha usaha muhasabah ini menjadi lebih mudah apabila dilakukan didalam usrah dimana kita saling ingat mengingati dan mewujudkan suasana yang kondusif untuk melaksanakan perintah Allah.

Thursday, July 25, 2013

muhasabah diri di pertengah ramadhan

Alhamdulillah ramadhan tahun 1434 Hijrah, 2013 Masihi sudah masuk hari ke 16.

Banyak muhasabah yang perlu dilakukan terhadap kualiti dan kuantiti amal ibadat yang dilakukan sepanjang hari ramadhan yang berlalu. Bagi yang berfikir tentang ini, sudah tentu akan cuba memperbaiki amalan kerana belum tentu dia akan bertemu ramadhan yang akan datang.

Didalam bulan puasa, erti pengorbanan dapat dihayati dengan lebih mendalam. Masa berhibur dan tidur dikurangkan dan masa untuk beribadah ditambah. Ibadah seperti bersedakah ditambah. Ini adalah supaya Allah menganjari dengan keampunan dan membalas dengan balasan syurga.

Nikmat nikmat didalam syurga diterangkan didalam Al Quran seperti sungai sungai yang mengalir sebagai perumpamaan. Sesungguhnya nikmat di syurga tiada tandingan dan tidak setara seisi dunia dengan nikmat yang bakal diterima kelak.

Semoga kita semua kembali kepadaNya dengan keadaan yang diredhai dan mendapat ganjaran terbaik yang disediakan bagi orang yang beriman dan beramal soleh.

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
(Al-Fajr 89:27)

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
(Al-Fajr 89:28)

"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
(Al-Fajr 89:29)

"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(Al-Fajr 89:30)