Friday, October 31, 2014

menyemarakan aktiviti ziarah

Alhamdulillah, GBS dapat bersiaran lagi pada minggu ini.

Diantara aktiviti didalam usrah ialah mengambil berat tentang saudara saudara yang lain. Aktiviti ziarah dapat merapatkan ukhuwwah. Dengan mengadakan ziarah kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang saudara kita.

Berkenalan dengan saudara kita bukan sekadar mengetahui nama dan latar belakang sahaja. Selain itu, kita dapat berkongsi perasaan dan juga menyatakan kasih sayang kita kepada saudara kita yang lain, mengetahui permasalahannya dan mengetahui keadaan semasa saudara kita.

Aktiviti ziarah ini memerlukan seseorang itu supaya tangkas untuk mengatur masa ziarah. Ziarah tidak harus dilengah lengahkan. Seharusnya ziarah sesama saudara menjadi satu kebiasaan. Namun, pada masa ini, aktiviti ziarah menjadi agak terbatas kerana kekangan tugas dan waktu.

Sebaik baiknya, kita merasa selesa untuk menerima ziarah saudara saudara kita. Ini kerana kesediaan menerima ziarah saudara saudara akan membuka lagi pintu rezeki kita dan merapatkan ukhuwwah. Ziarah yang didasari atas niat kerana Allah dan rasa ukhuwwah pasti menguatkan lagi ikatan persaudaraan yang sudah terjalin.

Namun, masa masa ziarah juga harus diambil kira supaya tidak mengganggu saudara kita. Diantara masa yang sesuai ialah waktu pagi dan tengah hari.

InsyaAllah dengan kerap kerap mengadakan ziarah, kita lebih mudah untuk mengatur aktiviti ziarah seterusnya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda :

"Terdapat enam hak Muslim ke atas seorang Muslim." 
Ditanyakan kepada Baginda, "Apakah ia wahai Rasulullah?" 
Baginda bersabda : 

"Apabila kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam kepadanya : 

apabila ia menjemput engkau, tunaikanlah jemputannya: 

apabila ia meminta nasihat daripada engkau, berilah nasihat kepadanya : 

apabila ia bersin kemudian ia memuji Allah, jawablah untuknya dengan mengatakan yarhamukallah (semoga Allah merahmati kamu) : 

apabila ia sakit, ziarahilah ia: apabila ia mati iringilah jenazahnya."

(Riwayat al-Bukhari)

pautan:
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=14186.15;wap2

Friday, October 24, 2014

Salam Maal Hijrah 1436

Alhamdulillah sambutan Maal Hijrah tahun 1436 akan tiba lagi. Tarikh ini boleh dijadikan sebagai tarikh untuk memperbaharui keazaman kita dan menilai bagaimana prestasi kita untuk tahun ini.

Sekiranya peningkatan peningkatan dan sumbangan kita terhadap agama belum mencapai tahap yang disasarkan. Maka, tarikh Maal Hijrah ini boleh dijadikan sebagai tarikh untuk menilai semula.

Kisah hijrah Rasulullah dari Kota Mekah ke Madinah merupakan satu kisah pengorbanan yang besar yang perlu dihayati oleh semua umat Islam. Rasulullah berhijrah untuk memastikan Islam dan dakwah lebih subur.

Pengorbanan Rasulullah dan para sahabat mengharungi cabaran penghijrahan hendaklah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk kita meneruskan lagi usaha dakwah. Mereka meninggalkan harta harta demi memastikan Islam terus berkembang. Semoga usaha usaha kita akan mendapat redha Allah. Pastikan niat kita berada di atas landasan yang betul iaitu kerana Allah.

Sebagaimana hadith Rasulullah,

” Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ”
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : – ‘ Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. 
Setiap orang dinilai dengan niatnya. 

Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. 

Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.”
 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

pautan: http://cahayapurnama.com/hadis-pertama/

Tuesday, October 14, 2014

muhasabah hari raya aidil adha 1435H

Alhamdulillah, hari raya aidil adha tahun ini disambut dengan meriah di seluruh negara.

Bagi yang berkemampuan, ibadah korban dilakukan. Daging daripada sembelihan korban disedekahkan dan diberi kepada fakir miskin. Disamping itu, ibadah korban juga dapat merapatkan hubungan diantara pelbagai lapisan masyarat dan hubungan kekeluargaan. Masyarakat Islam bersama sama melaksanakan korban dan menjayakan ibadah korban dengan sama sama membantu proses ibadah korban dari mula sehingga akhir dan pengagihan daging korban.

Hari raya aidil adha juga menanda berakhirnya ibadah haji. Para muslimin dan muslimat yang dijemput Allah menunaikan haji akan melakukan tawaf, sai, bermalam di Arafah, dan melontar. Didalam ibadah korban dan haji terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarga baginda dalam menuruti perintah Allah. Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail redha dan sabar dengan perintah Allah supaya Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail. Akhirnya, Allah mengantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas pada saat akhir hendak dilakukan korban terhadap Nabi Ismail dan Allah menerima pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim.


Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah
tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. 

Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
(Al-Hajj 22:37)

Sesungguhnya, hendaklah kita juga meletakkan diri kita dapat suasana pengorbanan. Islam mengajak umatnya berkorban untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Suasana pengorbanan juga menjadikan umat Islam lebih peka dengan masalah umat Islam disekeliling. Bagi mereka yang patuh, Allah pasti akan mengganjari mereka dengan balasan yang lebih baik.

Merancang untuk melaksanakan ibadah korban
Ibadah korban memerlukan kos yang semakin tinggi untuk dilakukan pada masa kini. Namun, ini tidak menghalang kita untuk melakukan ibadah korban setiap tahun. Dengan perancangan yang baik, jumlah wang yang cukup dapat dikumpul untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban.

Diantara caranya ialah dengan mengumpul wang secara berkala. Jika dapat dilakukan penyimpanan setiap hari dan bulan, maka jumlah terkumpul boleh dijadikan wang untuk menjalankan ibadah korban. Oleh itu, hendaklah kita cuba merancang untuk melaksanakan ibadah korban. Dimana ada kesungguhan, insyaAllah akan dipermudahkan. Semoga Allah menganjari usaha dan pengorbanan kita.


Monday, September 22, 2014

menjadikan surah al kahfi sebagai amalan mingguan

Alhamdulillah, usrah gbs masih lagi dapat meneruskan ruangan perkongsian. Surah Al Kahfi merupakan surah yang mendapat nama daripada kisah sekumpulan pemuda yang beriman kepada Allah SWT. Mereka memohon perlindungan kepada Allah daripada pemerintah yang zalim.

Surah ini disarankan menjadi bacaan mingguan kerana didalam satu hadis Rasulullah menyarankan sahabat Rasulullah membaca sepuluh ayat terawal surah al kahfi untuk mendapat perlindungan daripada fitnah Dajjal.

Oleh itu, hendaklah kita berusaha menjadikan bacaan surah al kahfi sebagai amalan mingguan kita. Apabila sudah selesa dengan membaca sepuluh ayat awal surah al kahfi. Bolehlah kita cuba menghafal ayat ayat ini. Kemudian, diteruskan dengan menghayati maksud sepuluh ayat yang dibaca. Semoga ayat ayat ini mampu menggetarkan jiwa supaya meletakkan pengharapan kita kepada Allah SWT.

Banyak lagi kisah yang menjadi teladan didalam surah ini untuk kita hayati. InsyaAllah sama sama kita istiqamah dalam beramal dan sebarkan kepada rakan rakan yang lain.

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
(Al-Kahfi 18:9)

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: 
"Wahai Tuhan kami! 

Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, 

dan berilah kemudahan-kemudahan 

serta pimpinan kepada kami 

untuk keselamatan agama kami".
(Al-Kahfi 18:10)

Tuesday, September 9, 2014

selamat menunaikan haji

Alhamdulillah, musim haji tiba lagi bagi tahun 1435 Hijrah. Bagi yang menerima giliran haji tahun ini, sesungguhnya ini adalah satu jemputan yang istimewa daripada Allah.

Bagi yang belum menunaikan haji, hendaklah kita meletakkan keazaman untuk menunaikan haji sebelum kita dijemput kembali kepada Allah. Hendaklah kita melalukan perancangan dan melaksanakan tindakan untuk membolehkan kita menunaikan haji. Disebabkan kouta haji yang terhad, adalah digalakkan supaya mendaftar haji awal supaya kita dapat menunaikan haji ketika keringat masih banyak.

Perancangan seperti menyediakan simpanan wang secukupnya boleh dilakukan mulai sekarang. InsyaAllah dengan keazaman, niat dan usaha kita, Allah akan memudahkan urusan urusan kita untuk menunaikan haji.

Persediaan ruhi juga jangan ditinggalkan, biarlah kita istiqamah dengan amalan amalan sunat seperti tilawah dan qiyam supaya menjadi kebiasaan nanti di tanah suci. Dengan ini, diharapkan diri para jemaah haji pergi dengan hati yang sentiasa mengingati Allah.

Disamping itu, persediaan fizikal juga boleh dilakukan untuk memastikan badan sihat untuk menunaikan haji kerana ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal yang banyak seperti bertawaf dan bersaei. Semua persediaan ini, dilakukan dengan harapan Allah memudahkan urusan menunaikan haji.

Ujian dan dugaan pasti akan menemui para jemaah haji di sana. Hendaklah sentiasa mengingati Allah dan bersabar. Dengan banyak bersabar, kita dekat dengan Allah InsyaAllah.

Bagi yang belum berpeluang menunaikan haji, ucapan ucapan talbiah yang kedengaran di corong television dan radio sudah pasti membangkitkan rasa rindu untuk turut bersama jemaah haji. Kuatkan azam dan perancangan, insyaAllah akan sampai juga ke tanah suci suatu hari nanti.

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah;
maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, 

maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.

 Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan,
 maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala,
 lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:158) |

Friday, August 8, 2014

muhasabah syawal 1435H

Alhamdulillah kita diberi kesempatan lagi untuk melalui bulan Ramadhan dan bertemu dengan Syawal. Semoga dengan izin Allah dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Semoga dengan tempoh latihan selama sebulan di madrasah ramadhan dapat membina keimanan dan ketakwaan.

Seperti yang kita ketahui, umat islam di Gaza terpaksa menghadapi suasana aidil fitri dan syawal dalam keadaan serangan tentera Israel. Serangan serangan ini tidak pula melemahkan umat islam sebaliknya menimbulkan kegusaran dan takut kepada para penentang agama Allah. Umat Islam semakin yakin dengan janji Allah dan tetap pada jalan dan pegangan mereka.

Para penentang agama Allah ingin melihat Islam terkubur dengan segala perancangan licik mereka. Namun, sejarah telah membuktikan Islam terus berkembang subur disebalik segala bentuk penindasan yang berlaku. Allah akan membantu hambanya yang ikhlas berjuang dan berdoa kepadaNya.

Banyak peristiwa seperti peperangan Ahzab dan Ain Jalut menjadi saksi bahawa Allah sentiasa bersama hamba hambanya yang sabar dan tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja.

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, 
berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
(Al-Ahzaab 33:22)


Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam);
maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), 
dan di antaranya ada yang menunggu giliran;
dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
(Al-Ahzaab 33:23

Memperbaiki diri sendiri

Sebelum kita melangkah lebih jauh didalam medan perjuangan, kita hendaklah mempersiapkan bekalan iman dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Usaha kita dalam perjuangan menegakkan agama Allah tanpa hubungan yang baik dengan Allah menyebabkan doa doa kita tidak diterima Allah. Hendaklah kita melihat balik bagaimana kita melaksanakan perintah Allah dan bagaimanakah kekerapan kita bertahajjud dan mendekatkan diri kepada Allah.

Usaha usaha muhasabah ini menjadi lebih mudah apabila dilakukan didalam usrah dimana kita saling ingat mengingati dan mewujudkan suasana yang kondusif untuk melaksanakan perintah Allah.

Wednesday, July 23, 2014

jom menyumbang untuk Gaza

Didalam keadaan sekarang bumi Gaza di serang lagi. Serangan masih lagi berterusan oleh regim zions sehingga ke saat ini. Kebanyakan mangsa terdiri daripada orang awam termasuk kanak kanak yang tidak berdosa.

Rumah rumah di bom dengan menggunakan pesawat. Hospital dan tempat awam turut di bom dengan tujuan untuk melumpuhkan kemudahan awam. Namun, semangat juang rakyat Palestin tetap utuh demi mempertahankan tanah air tercinta. Mereka mengharapkan doa dan bantuan daripada saudara saudara mereka diluar sana.

Untuk itu, hendaklah kita cuba untuk membantu sedaya upaya yang boleh. Diantaranya dengan menghulurkan wang derma kepada Aqsa Syarif yang giat membantu saudara saudara Islam yang tertindas.




Akaun sumbangan Aqsa Syarif ialah:

Maybank Islamic | 551575-004299
Bank Islam | 1209-20100-34904

Sesungguhnya kekejaman disana adalah satu ujian bagi semua. Kita di Malaysia uji Allah samaada kita prihatin terhadap penderitaan saudara kita disana. Kita akan bertemu dengan Maha Pencipta Allah dan menjawab dihadapanNya nanti.

Oleh itu, teruskan menyumbang, kerana antara tanda aras taqwa ialah prihatin terhadap nasib saudaranya. Begitulah kekuatan ukhuwwah saudara seagama, tidak akan merasa senang dengan kekejaman yang diperlakukan terhadap saudara saudara seagama.

Semoga kita merenung maksud ayat ayat dibawah:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(A-li'Imraan 3:92)

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
(A-li'Imraan 3:169)

Friday, July 4, 2014

ramadhan masa untuk meningkatkan amal kebajikan

Alhamdulillah sudah hampir seminggu ramadhan tahun 1435H, pada masa ini ibadah puasa yang dilakukan disamping galakan melaksanakan kebajikan.

Banyak aktiviti kebajikan yang boleh dilakukan seperti memberi makan orang berbuka puasa, sedekah, melawat rumah kebajikan dan menyumbang untuk saudara saudara kita yang memerlukan.

Didalam Al Quran, Allah memberi galakan untuk kita melaksanakan kebajikan. Kebajikan yang dilaksanakan dengan hasil yang terbaik akan diganjari Allah dengan kebaikan yang lebih baik di akhirat. Sesungguhnya bagi yang mengejar janji Allah, mereka merasa terpanggil untuk melaksanakan kebajikan samaada dalam keadaan senang atau sudah.

Ayuh didik diri kita untuk sentiasa melaksanakan kebajikan. Moga Allah terima amalan kita sebagai salah satu usaha kita mencari redha Allah.

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) 
sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. 

Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(A-li'Imraan 3:92)

Friday, June 27, 2014

ramadhan datang lagi, 1435 Hijrah

Alhamdulillah GBSian dapat bersiaran lagi sebelum datangnya ramadhan pada tahun ini. Ramadhan akan menjadi ruang untuk kita mendapat ganjaran besar atas amalan amalan yang kita lakukan. Dibulan ini juga menjadi peluang untuk kita lebih dekat kepada Allah dengan penuh pengharapan agar segala amalan puasa dan kebajikan yang dilakukan diterima dan diredhai Allah.

Pada bulan ini juga, hendaklah kita memperbanyakkan lagi aktiviti aktiviti ibadah. Hendaklah kita mengingati kisah kisah perjuangan masa lalu dan kini yang berlaku pada bulan ramadhan. Lapar dan dahaga tidak menghalang usaha usaha dakwah. Sebaliknya dakwah terus bergerak laju dibulan ramadhan ini.

Didalam bulan ramadhan yang akan datang ini juga, kita perlu menggalakkan tilawah Al Quran. InsyaAllah dengan latihan ramadhan, tilawah Al Quran akan menjadi rutin harian pada bulan bulan berikutnya. Kita hendaklah juga semakin yakin bahawa Al Quran adalah kalamullah yang suci.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,
 menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
 dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

 Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu
dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
 Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan,
dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
(Al-Baqarah 2:185)

Tuesday, June 3, 2014

tawaran jual beli dari Maha Pencipta

Alhamdulillah, GBSian dapat menulis lagi pada kali ini. Tazkirah yang disampaikan dimasjid masjid banyak membantu kita lebih menghayati ayat ayat Al Quran. Sesungguhnya, seorang yang beriman seharusnya banyak masa berdamping dengan Al Quran. Didalamnya, mengandungi ayat ayat yang menguatkan dan menguji keimanan. Ayat ayat Al Quran membezakan antara yang beriman dan yang kufur.

Kehidupan dunia ini adalah satu ujian didalam apa jua keadaan yang terjadi kepada kita. Kesenangan atau kesusahan adalah satu bentuk ujian. Setiap kita tidak pernah terlepas daripada diuji. Sesungguhnya kita memerlukan teman atau usrah untuk membantu kita berada dalam suasana yang ingat mengingati. Jika tidak, kita akan terlalai.

Didalam surau At Taubah, Allah mengingatkan kita tentang ciri orang beriman dan bagaimana Allah menawarkan satu janji jual beli yang menguntungkan orang yang beriman.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
 (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. 

(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran;

 dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah?

Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu,

dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(At-Taubah 9:111)

Jual beli yang ditawarkan Allah menjanjikan balasan yang sangat besar. Tetapi memerlukan pengorbanan awal yang hanya boleh dilaksanakan oleh mereka yang yakin dan beriman. Begitulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat sahabat serta pejuang Islam yang terdahulu. Mereka mengorbankan banyak kesenangan untuk mengejar janji Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyempurna janjiNya.

Didalam ayat yang seterusnya Allah menerangkan ciri ciri orang yang beriman. Moga kita sama sama merenungi maksud ayat ini untuk muhasabah kita bersama.

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat,
 yang beribadat,
 yang memuji Allah, 
yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), 
yang rukuk, yang sujud, 
yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, 
serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
(At-Taubah 9:112)

pautan:
http://www.surah.my/9