Thursday, December 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431 H

Salam,

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maal hijrah kepada semua yang saya kenali sempena 1431 hijrah. Dalam suatu riwayat daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim dinyatakan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah Ta’ala. Peristiwa hijrah ke madinah juga adalah satu detik bermulanya perlaksanaan syariat Allah secara syumul melalui penegakkan daulah Islam yang pertama.

Sekadar kita berarak dan membawa sepanduk-sepanduk sambil melaungkan slogan-slogan yang kononnya untuk menegakkan sunnah, hanyalah sia-sia. Apatah lagi bulan Muharram kali ini hampir bersamaan tarikhnya dengan tarikh tahun baru masihi. Dibimbangi selang seminggu kita dicemarkan dengan pesta maksiat terhadap Allah.

Muharram adalah berasal daripada perkataan “dipantang” atau “dilarang” kerana terdapat larangan Allah menumpahkan darah pada bulan ini. Bagaimanapun, ianya dimansukhkan melalui ayat Al-Quran Al-Baqarah:91.

Petunjuk nabi yang jelas pada bulan ini boleh dilihat melalui hadis berikut “Puasa yang paling utama selepas Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan solat yang paling utama selepas solat Fardhu ialah solat malam” (Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Baihaqi dan Ahmad). Hadis ini memberikan isyarat berpuasa pada bulan Muharram adalah sangat dituntut melebihi daripada bulan-bulan lain.

Bagaimanapun, tidaklah patut kita berpuasa sebulan penuh Muharram kerana menyisihi petunjuk nabi melalui hadis Aisyah r.a berbunyi “Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban” (Imam bukhari: 1969)

Tuntutan terbesar pada bulan Muharram adalah berpuasa Tasu’a dan ‘Asyura iaitu 9 dan 10 Muhharam. Direkodkan oleh Imam Muslim daripada Ibnu Abbas r.a. maksudnya”Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa . Lalu mereka berkata:Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani . Lalu Rasulullah saw bersabda lagi:”Sekiranya tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9”. Ibnu Abbas r.a. berkata: Tidak sempat munculnya tahun depan, Rasulullah wafat terlebih dahulu”.

Juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bermaksud “Berpuasalah pada hari kesembilan dan kesepuluh dan bezakanlah (dari meniru) Yahudi.” (Al-Baihaqi: 8665). Terdapat riwayat yang dirakamkan melalui Imam Ahmad, no 2047 : Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berselisihlah dengan orang yahudi di dalamnya dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya”. Ini juga menunjukkan puasa pada hari ke 11 Muharram juga dalah disunnahkan. Olehitu terdapat juga ulama’ memakruhkan puasa hanya pada 10 Muharram seperti dalam mazhab Hanafi.

Adapun amalan-amalan yang lain seperti doa awal tahun dan akhir tahun, bercelak, bubur asyura dan lain-lain adalah tidak thabit dengan sunnah nabi Muhammad saw. Adalah amat malang kita mengaitkan amalan-amalan tersebut sebagai suruhan nabi saw . Kebanyakan nas-nas yang dikaitkan dengan hari Asyura adalah sama ada palsu atau dhoif yang direka oleh puak Syiah untuk mengenangkan kematian syaidina Hussain r.a.

Renungilah firman Allah ”Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya- fitrah) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. – al-Rum (30) : 30

Wassalam,

Yusni

No comments: