Friday, November 29, 2013

muhasabah hati manusia

Alhamdulillah usrah GBSian berlangsung seperti  biasa, didalamnya banyak muhasabah yang dapat di ingati. Apabila mendengar penerangan ayat ayat al quran daripada mereka yang memahami dan menghayatinya, maka kita akan berasa kagum dengan Al Quran. Bahkan kita akan merasa kebenaran ayat Al Quran tidak dapat disangkal lagi.

Hati manusia digambarkan didalam Al Quran boleh menjadi lebih keras daripada batu. Ini menggambarkan betapa degilnya manusia dalam menerima kebenaran walaupun sudah jelas. Bagaimana manusia menjadi begitu sombong dengan penciptanya.

Sekeras keras batu, masih terpancar dan meresap air sehingga menjadi mata air dan anak sungai. Semoga Allah memelihara hati hati kita.

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
(Al-Baqarah 2:74)

 Mengambil pelajaran mengenai Al Quran

Oleh itu, hendaklah kita membuka hati dan menerima kebenaran Al Quran. Hendaklah kita mendalami Al Quran dan cuba memahami Al Quran dengan sebaiknya. InsyaAllah Al Quran akan menjadi petunjuk dan penawar kepada permasalahan kita.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.
(Al-Hadiid 57:16)

pautan:
http://www.surah.my/57

Friday, November 22, 2013

GBSian dalam larian Penang International Marathon 2013

Alhamdulillah pada ahad yang lepas GBSian sempat mengikut larian penang international marathon. Larian bermula jam 1 pagi bagi peserta Marathon. Bagi larian 21 km, larian bermula jam 3.00 pagi.

Cuaca agak dingin pada hari tersebut kerana hujan pada tengah malam yang menjadikan larian lebih selesa. Alhamdulillah larian dapat ditamatkan selepas dua jam. Solat subuh berjemaah tidak ditinggalkan walaupun penat menghabiskan larian.



Manafaat aktiviti larian

Aktiviti larian/ berjalan sebenarnya mempunyai banyak manafaat. Antaranya:

1. Boleh dijadikan satu aktivit riadah mingguan
2. Belanja permulaan yang lebih murah, hanya memerlukan sepasang kasut.
3. Boleh bertemu rakan rakan baru
4. Boleh berdakwah atau menyampaikan kepada masyarakat tentang sesuatu perkara
5. Boleh disertai dalam bilangan yang ramai dan tidak mengira peringkat umur.

InsyaAllah pada tahun depan GBSian akan lebih melibatkan diri dalam aktiviti larian disamping menyampaikan mesej mesej Islam.

Wednesday, October 30, 2013

GBSian: menggunakan smartphone atau telefon pintar untuk meningkatkan aktiviti ibadah

Alhamdulillah, pada masa kini smartphone seperti Iphone, Samsung Galaxy menjadi kegemaran ramai untuk dijadi peranti komunikasi terkini. Pelbagai kerja dapat dilakukan mengunakan telefon pintar seperti melayari internet.

Ayuh gunakan telefon pintar untuk aktiviti aktivit berfaedah seperti berikut:

1. membaca al quran
Al quran digital dapat dimuat turun dan dibaca. Jadi kesukaran seperti membawa naskah al quran tafsir dapat diatasi. Anda boleh membaca Al Quran dimana mana tanpa perlu bersusah payah membawa naskah Al Quran.

2. mengejutkan bangun qiyam
Perisian alarm clock dapat digunakan untuk mengejutkan penggunanya untuk bangun. Seelok eloknya waktu di letakkan sebelum waktu solat subuh supaya anda dapat melakukan ibadah qiyam.

3. berkongsi bahan tazkirah
Dengan menggunakan perisian seperti whatsupp atau line, maka dapatlah kita berkongsi bahan bahan tazkirah. Semoga diri kita semakin dekat kepada Allah dengan saling ingat mengingati.

sebagaimana pada pengakhiran ayat2 surah al maidah
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Al-Maaidah 5:2)

pautan:
http://www.surah.my/5

Thursday, October 24, 2013

Ibadah korban sebagai satu syiar Islam

Alhamdulillah sudah hampir seminggu hari raya aidil adha tahun 1434 H berlalu. Namun, penghayatannya hendaklah sentiasa kita ingati sebagai pedoman seorang muslim.

Ibadah korban adalah ibadah menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta sebagai satu ibadah kerana Allah. Ibadah ini adalah sebagai mana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dalam menuruti perintah Allah. Nabi Ibrahim patuh kepada suruhan Allah untuk menyembelih anaknya yang disayangi iaitu Nabi Ismail. Kepatuhan dan pengorbanan Nabi Ibrahim akhirnya diterima Allah dan tempat Nabi Ismail diganti dengan seekor kibas.

Jadi GBSian menyeru rakan rakan untuk sama sama terlibat dalam ibadah korban. Ikhlaskan niat untuk mendapat redha Allah. Daging dari sembelihan korban bolehlah di agih agihkan kepada yang memerlukan. Elakkan daripada tidak terlibat dalam aktiviti korban kerana menyembelih haiwan ternakan adalah satu syiar Islam semasa hari raya aidil adha.

Sebagai penghayatan ibadah korban, khutbah khutbah hari raya aidil adha banyak mengingatkan tentang surah as saffat yang menceritakan pengorbanan Nabi Ibrahim. Dan sebagai ganjaran Allah menganjari Nabi Ibrahim dengan kemuliaan.

Semoga kita berusaha menuruti perintah Allah sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim.



Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
(As-Saaffaat 37:102)

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
(As-Saaffaat 37:103)

Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
(As-Saaffaat 37:104)

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
(As-Saaffaat 37:105)

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
(As-Saaffaat 37:106

Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
(As-Saaffaat 37:107)

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
(As-Saaffaat 37:108)

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
(As-Saaffaat 37:109

Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
(As-Saaffaat 37:110

pautan: http://www.surah.my/37

Friday, October 4, 2013

GBSian menyokong perjuangan Palestin, Mesir dan Syria

Alhamdulillah baru baru ini GBSian sempat menyertai program Futsal For Freedom. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada golongan belia tentang perjuangan rakyat yang tertindas di mesir, syria dan palestin akibat pergolakan politik dan kerajaan yang zalim.

Alhamdulillah di Malaysia kita bersyukur kerana masih dikurniakan keamanan. Suasana aman ini seharusnya digunakan untuk membantu saudara saudara kita di sana.



Kerajaan yang zalim sentiasa wujud dari satu zaman ke zaman yang lain. Didalam Al Quran diceritakan tentang kisah kerajaan Firaun yang zalim terhadap rakyat. Terdapat banyak ayat yang menceritakan kezaliman kerajaan Firaun.

Firaun dengan segala kekuasaannya angkuh dan mengaku tuhan. Akhirnya Firaun mati dalam keadaan yang hina.



Semoga kita mengambil pengajaran dan iktibar. Jangan lupa teruskan berdoa dan memberi bantuan kepada saudara kita di timur tengah. Sesungguhnya Allah bersama sama mereka yang sabar dan gigih.

Wednesday, September 25, 2013

melihat kebesaran Allah dalam penciptaan hujan

Alhamdulillah sabtu yang lepas GBSian dapat meluangkan masa bersama dalam satu program untuk memperkayakan iman. Didalam program tersebut banyak aktiviti yang memberi sentuhan rohani dan muhasabah yang dapat membentuk diri dan mendekatkan diri kepada mensyukuri nikmat Allah.

Diantara pengajaran yang disampaikan ialah tentang penciptaan hujan. Bagaimana unsur air meruap ke udara menjadi awan. Berjuta juta tan wap air terapung di udara. Jikalau kesemuanya jatuh sebagai satu himpunan air, sudah pasti akan rosak dan binasa bumi ini.

Namun, dengan rahmat dan kasih Allah SWT, hujan diturunkan didalam titis titis yang kecil dan menyegarkan. Titisan ini pula sampai kepada seluruh muka bumi. Jika tugas ini diamanahkan kepada manusia untuk dilakukan sendiri. nescaya manusia mengalami kesukaran untuk melakukannya.

Titisan titisan ini jatuh dan diserap kebumi sebelum keluar sebagai anak anak sungai yang akan memenuhi sungai dan tasik. Dengan ini, manusia dapat menggunakkan sumber air untuk kegunaan yang pelbagai. Ternyata terdapat tanda tanda kebesaran penciptaan yang kita selalu alpa.

Tanda tanda kebesaran ini tidak mungkin disedari jika kita tidak mengkaji dan mempelajari. Jadi, disinilah letaknya kepentingan ilmu. Ilmu itu sangat luas dan menarik untuk dikaji bagi meningkatkan keimanan kita kepada Allah Maha Pencipta.

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, 
kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, 
kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? 
Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. 
Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; l
alu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, 
dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. 
Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.
(An-Nuur 24:43)

Thursday, September 19, 2013

solidariti ummah isu krisis syria, mesir dan palestin

Assalamualaikum GBS,

Alhamdulillah kita masih lagi berkesempatan untuk menunaikan ibadah dan dakwah secara aman di Malaysia. Bagaimanapun nasib saudara kita di timur tengah semakin terancam. Seharusnya kita tidak menganggap isu ini adalah masalah negera Arab sahaja.

Masalah ini sebenarnya adalah satu masalah ummah yang memerlukan penyelesaian daripada umat Islam seluruh dunia. Kekejaman yang berlaku di Mesir, Syria dan Palestin memerlukan pembelaan kita. Bumi Syams yang merupakan bumi yang diberkati telah tercemar dengan pertumpahan darah ratusan ribu umat islam yang tidak berdosa.



Nasib negara ini sekarang ditentukan oleh kuasa kuasa besar dari negara bukan Islam. Rakyat menderita akibat tidak dapat menentukan hala tuju negera berdasarkan kehendak sendiri. Cengkaman diktator diktator di negara timur tengah cuba dileraikan oleh rakyat kerana mereka tidak lagi dapat menahan seksaan dan pelbagai bentuk penindasan yang berlaku sehingga hari ini. Negara negara kuasa besar teragak agak untuk membantu kerana perlu menjaga kepentingan Israel.

Ayuh teruskan bantuan dan doa kita kepada saudara kita disana. Marilah sama sama tambahkan pengetahuan dan membantu menjelaskan situasi disana kepada rakan rakan diluar sana. Kita tidak lagi boleh berdiam diri ketika saudara saudara kita dibunuh.

Antara cara kita menyebarkan kesedaran ini:
1. ikuti ceramah ceramah kesedaran yang dilakukan dimasjid
2. sebarkan makluman tentang tabung bantuan syria, mesir dan palestin.
3. mengadakan program program kesedaran seperti diskusi, forum dan lain lain.

Monday, August 5, 2013

malam malam terakhir ramadhan 1434H

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia di penghujung ramadhan ini. Banyak pengajaran dan muhasabah sepanjang bulan ramadhan ini perlu kita lakukan bagi memastikan kita melangkah keluar dari ramadhan sebagai orang orang yang menerima janji Allah seperti pengampunan dosa dosanya yang sudah berlalu dan akan datang.

Di malam malam terakhir ramadhan ini eloklah kita memperbanyakkan masa di masjid untuk beriktikaf. Masa masa ini sebenarnya sangat berharga dan tidak datang lagi melainkan diizinkan Allah. Hamba hambanya yang terus berharap akan berusaha mencari malam lailatul Qadar yang menjanjikan ganjaran yang lebih baik amalannya berbanding seribu bulan. Juga, ayuh teruskan amalan kebajikan yang masih boleh dilakukan seperti sedekah dan memberi makan orang berbuka puasa.

Disamping itu, tuntutan zakat fitrah juga hendaklah dilakukan segera. Semoga Allah menerima amalan kita.

Dimalam malam terakhir ini, kita juga mendengar berita sahabat sahabat seagama kita yang tertindas diserata dunia. Maka wajib kepada kita untuk membantu dengan daya upada kita. Antaranya ialah dengan memperbanyakkan doa. Sesungguhnya Allah itu dekat dan mendengar rintihan dan permintaan hambaNya.

Bagi mereka yang beriman dan bertakwa, mereka tidak berputus asa untuk meminta dan berdoa kepada Allah. Maka marilah kita bersama sama bersungguh sungguh dalam doa kita. Biarlah hati kita terkesan dengan doa yang kita baca.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); 
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu
Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Thursday, August 1, 2013

pecutan 10 hari terakhir ramadhan 1434H

Alhamdulillah ramadhan yang berlalu dan semakin meninggalkan kita. Namun bagi yang mencari keredhaan dan keampunan daripada Allah akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu ibadah yang dilakukan.

Antara amalan yang dilakukan Rasulullah di sepanjang 10 hari terakhir ramadhan ialah beriktikaf di masjid untuk menumpukan masa sepenuhnya kepada ibadah. Maka kita sebagai insan biasa hendaklah cuba mencontohi sunnah Rasulullah. Ganjaran yang dijanjikan disepanjang ibadah pada 10 malam terakhir amat besar.



Diantara ganjaran yang menanti bagi mereka yang tekun beribadah ialah malam lailatul Qadar. Ibadah pada malam lailatul Qadar adalah satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ibadah. Oleh itu hendaklah kita berusaha meningkatkan amal ibadah dan juga mengajak rakan rakan mencari malam lailatul Qadar. Semoga Allah pertemukan kita dengan malam yang sungguh istimewa ini.

InsyaAllah pada hari jumaat ini usrah GBS akan beriktikaf di Masjid Daerah Balik Pulau. Program dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Pulau Pinang. Banyak slot slot ceramah yang menarik untuk diikuti oleh para jemaah. Yuran yang dikenakan juga sangat minima. Para jemaah boleh datang mendengar ceramah dan turut sama beriktikaf.

Semoga program iktikaf ini dapat menjadi aktiviti yang dapat menyemarakkan lagi amalan iktikaf di sepuluh hari terakhir. Semoga Allah kurniakan kepada kita keampunan dan ketakwaan sebagai bekalan di bulan bulan seterusnya.

Thursday, July 25, 2013

muhasabah diri di pertengah ramadhan

Alhamdulillah ramadhan tahun 1434 Hijrah, 2013 Masihi sudah masuk hari ke 16.

Banyak muhasabah yang perlu dilakukan terhadap kualiti dan kuantiti amal ibadat yang dilakukan sepanjang hari ramadhan yang berlalu. Bagi yang berfikir tentang ini, sudah tentu akan cuba memperbaiki amalan kerana belum tentu dia akan bertemu ramadhan yang akan datang.

Didalam bulan puasa, erti pengorbanan dapat dihayati dengan lebih mendalam. Masa berhibur dan tidur dikurangkan dan masa untuk beribadah ditambah. Ibadah seperti bersedakah ditambah. Ini adalah supaya Allah menganjari dengan keampunan dan membalas dengan balasan syurga.

Nikmat nikmat didalam syurga diterangkan didalam Al Quran seperti sungai sungai yang mengalir sebagai perumpamaan. Sesungguhnya nikmat di syurga tiada tandingan dan tidak setara seisi dunia dengan nikmat yang bakal diterima kelak.

Semoga kita semua kembali kepadaNya dengan keadaan yang diredhai dan mendapat ganjaran terbaik yang disediakan bagi orang yang beriman dan beramal soleh.

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
(Al-Fajr 89:27)

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
(Al-Fajr 89:28)

"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
(Al-Fajr 89:29)

"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(Al-Fajr 89:30)