Tuesday, March 18, 2014

Alhamdulillah, hujan mulai turun

Alhamdulillah hujan mulai turun di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Jika diperhatikan dan renung kembali betapa peritnya apabila hujan tidak turun selama beberapa bulan. Ramai yang menderita dan terpaksa menghadapi catuan bekalan air.

Begitu juga dengan lanksap bumi Malaysia juga bertukar dengan ketiadaan hujan. Bumi menjadi kering kontang dan bukit yang hijau menjadi kering dan kekuningan. Banyak kawasan yang mengalami kejadian kebakaran hutan. Selanjutnya jerebu melanda.

Disebalik musibah yang melanda, terdapat manusia yang insaf dan segera memohon ampun dan pertolongan kepada Allah. Namun begitu, ada juga manusia yang terlupa dan terus lalai.

Dengan rahmat Allah yang melebihi kemurkaanNya, Allah menurunkan kembali hujan, membasahkan kembali bumi yang kontang, menyegarkan suasana yang sebelum ini berbahang dan berhabuk. Begitulah kekuasaan Allah dalam mengawal alam ini. Manusia yang angkuh dan bongkak menjadi lemah walaupun dikelilingi dengan pelbagai teknologi pembuatan hujan dan sebagainya. Hanya Allah sahaja yang mampu memberi rahmat dan rezeki kepada setiap makhluknya. Ini membuktikan kekuasaan Allah, malah Allah mampu menukarkan sebuah kawasan yang sangat subur sebelumnya menjadi kawasan yang kering kontang serta tandus.

Bagi yang beriman, penurunan hujan menguatkan lagi keimanan mereka. Namun, bagi yang angkuh, penurunan hujan tidak memberi kesan dan keinsafan. Malah mereka terus lalai dalam lautan kesibukan dunia.

Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, -
(An-Naba' 78:14

Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, -
(An-Naba' 78:15)

Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
(An-Naba' 78:16)

pautan:
http://www.surah.my/78

Sunday, March 9, 2014

apabila berhajat kepada sesuatu, cermin diri dan minta ampun kepada Allah

Alhamdulillah GBSian dapat lagi meneruskan siaran pada kali ini. Pada masa sekarang kita berhadapan dengan cuaca yang panas. Banyak tempat yang dilanda kemarau dan penduduk dilanda kesulitan untuk mendapatkan bekalan air.

Sesungguhnya, hendaklah kita menerima ini sebagai satu ujian daripada Allah. Hendaklah kita melihat kepada apa yang telah dilakukan sehingga menyebabkan krisis kekurangan air. Sebagaimana kita ketahui, banyak kawasan hutan yang ditebang dan pencemaran sungai sungai akibat tangan manusia sendiri. Akibatnya, air yang sepatutnya jernih telah tercemar. Pemandangan yang sepatutnya hijau kini kering dan cacat. Allah pasti akan mempertanggungjawabkan kita atas segala amalan kita.

Seharusnya sebagai umat islam, kita diberi tanggungjawab oleh Allah untuk mengurus tadbir alam ini dengan sebaiknya. Kelekaan dan kealpaan kita dalam mengejar habuan dunia menyebabkan musibah melanda manusia sendiri.

Kesan dan impak perbuatan kita bukan sahaja menyusahkan masyarakat zaman ini. Malah mungkin menjejaskan kehidupan anak dan cucu pada masa hadapan. Oleh itu, berfikirlah supaya hasil tangan kita pada ketika ini membawa kebaikan kepada dunia walaupun sesudah kita meninggalkan dunia yang fana ini. Jangan biarkan kita menyusahkan kehidupan orang lain apabila kita sudah tiada.

Maka aku katakan kepada mereka: 
'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu
sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, 
niscaya Dia akan mengirimkan 
hujan kepadamu dengan lebat , '
dan membanyakkan harta 
dan anak-anakmu
dan mengadakan untukmu kebun-kebun 
dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (QS. Nuh: 10-12)

Oleh itu, sudah tibanya masa kita untuk membuat pembetulan yang wajar supaya kita boleh menjawab dihadapan Allah bahawa kita menyesal dan melakukan yang terbaik untuk menjaga alam ini.