Friday, June 14, 2013

persediaan ihya ramadhan

Alhamdulillah ramadhan bakal tiba lagi insyaAllah menemui hamba hambaNya. InsyaAllah kita diberi peluang untuk mengejar malam lailatul qadar dan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Oleh itu, persediaan awal untuk ramadhan perlu dilakukan untuk mengelakkan kita ketinggalan dalam mengerjakan amal ibadat didalam bulan puasa.

Memperbanyakkan puasa sunat
Antara amalan yang boleh diperbanyakkan sebelum bulan puasa ini ialah puasa sunat isnin dan khamis. GBSian boleh mengajak rakan rakan untuk berbuka puasa bersama sama. Sebaik baiknya bangun awal sebelum subuh untuk bersahur dengan sebaiknya supaya badan dapat bertenaga sepanjang waktu berpuasa.

Makanan berbuka juga boleh disediakan secara sederhana dan mengelakkan pembaziran. Amat mengejutkan bahawa banyak makanan yang tidak dihabiskan dan dibuang begitu sahaja. Ramai fakir miskin yang tidak mendapat makanan yang berkhasiat. Sepatutnya kita berfikir bagaimana mengurangkan pembaziran kerana pembaziran adalah sebahagian daripada amalan syaitan.


Menyediakan bajet untuk bersedekah
Sebagai persediaan, GBsian mungkin boleh menyediakan bajet bagaimana untuk menambahkan sedekah dibulan puasa. Senarai penerima sudah boleh dikenal pasti seperti Rayuan Ramadhan untuk fakir miskin diserta dunia Islam. Barang barang yang tidak perlu dibeli mungkin boleh ditangguhkan dahulu pembelian sehingga selesai Ramadhan. Bajet untuk persediaan hari raya boleh disediakan dengan lebih sederhana. Lebihan duit boleh digunakan untuk membeli baju kepada fakir miskin supaya mereka juga dapat meraikan sambutan hari raya.

Memperbanyakkan bacaan Al Quran
Didalam bulan ramadhan, bacaan Al Quran boleh ditingkatkan. Semoga kita dapat menghabiskan sekurang kurangnya 30 juzu' Al Quran sepanjang bulan puasa. Untuk itu, kita boleh membuat latihan membaca Alquran supaya dapat menghabiskan satu juzu' Al Quran. Antara waktu yang sesuai untuk membaca Al Quran ialah selepas solat maghrib dan solat subuh.

Menyediakan cuti untuk beriktikaf dipenghujung Ramadhan
Rasulullah pada penghujung ramadhan beriktikaf didalam masjid. Jadi, umat islam harus berusaha melakukan perkara yang sama. Cuti dan boleh dirancang supaya sepuluh hari terakhir dapat dihabiskan di masjid. InsyaAllah pertubuhan Ikram akan mengadakan iktikaf di penghujung bulan Ramadhan.

Semoga ramadhan kali ini datang dengan kita bersedia, dan pergi dengan kita mendapat manfaat sebaiknya. 

No comments: