Monday, February 9, 2009

pengisian usroh 4 feb


GHIBAH :

Mengumpat maknanya seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam kebanyakan hadis baginda yang sahih di antaranya hadis yang bermaksud: Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? Para sahabat menjawab sesungguhnya Allah dan Rasul jua yang lebih tahu. Maka baginda bersabda: mengumpat itu maknanya engkau menyebut sesuatu mengenai saudara engkau perkara yang dia benci (jika dia tahu pasti dia marah). Lalu sahabat bertanya kepada baginda: adakah tuan melihat sekiranya saya menyatakan sesuatu yang benar mengenai saudara saya? Lantas baginda menjawab: sekiranya kamu menyatakan sesuatu yang benar ada pada dirinya maka kamu telah mengumpat dia dan sekiranya kamu menyatakan yang sesuatu yang tiada pada dirinya sesungguhnya kamu telah berdusta. (riwayat Muslim).
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa: “ghibah ialah seseorang itu menyebut mengenai orang lain yang dia (yang diumpat) benci orang berbuat demikian padanya sama ada yang diceritakan itu berkaitan tubuh badannya atau agamanya atau dunianya atau kejadiannya atau pakainya… sama ada kamu menyebutnya dengan lafaz atau isyarat”.
Ada juga yang berkata ketika dia mengumpat: “aku berani kata depan dia (orang yang diumpat), sedangkan dia tidak sedar perbuatan tersebut adalah lebih menyakitkan saudaranya”.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)
Ibnu Mas’ud pernah berkata: Kami pernah berada di tempat Nabi SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri meninggalkan majlis, kemudian ada seorang lelaki lain mengumpatnya sesudah dia tidak ada, maka kata Nabi kepada lelaki ini: Bertambah gemuklah kamu! Orang tersebut bertanya: Mengapa saya harus menjadi gemuk sedangkan saya tidak makan daging? Maka kata Nabi: Sesungguhnya engkau telah makan daging saudaramu. (riwayat Thabarani dan Bukhari).
Hukum mengumpat pula seperti yang diungkap oleh Imam al-Qurtubiy: “Tiada khilaf (perselisihan) di kalangan ulama mengenai hukum mengumpat, sepakat mengatakan bahawa hukum mengumpat adalah termasuk dalam dosa besar, pengumpat wajib bertaubat di atas perbuatannya.
Manakala Ibn Hajar al-Haithamiy berpendapat: “setiap dari kedua perbuatan mengumpat dan mengata haram dengan kesepakatan ulama”.




Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging
manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana
mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya
diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada
rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.


Imam al-Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu
mengumpat;

1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;

2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

5. Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

6. Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

No comments: