Monday, April 6, 2009

FIKIR TAPI JANGAN KHUATIR

Dah lama tak post sesuatu dalam blog ni. Bukannya apo, eden ni rabun IT, jadi ‘merangkak’ le sikit (ditambah dengan faktor diri sendiri - tak rajin). Masa perjumpaan baru ni (1/4/2009), naqib mintak sampaikan tazkirah. Pening jugak le, sebab dapat tahu masa minit-minit terakhir. Rasa macam tak nak terima je (Jangan marah ye akhi Yusni, kang tak pasal-pasal kita kena ban dari usrah)


Tapi bila difikirkan balik, sampai bila-bila pun diri ini takkan bersedia sekiranya tidak mempunyai kesedaran, penghayatan dan usaha. Macam suatu keadaan di mana ada roh manusia yang telah meninggal dunia meminta kepada ALLAH untuk dihidupkan kembali ke dunia, supaya mereka dapat melakukan amal ibadat. Tapi ALLAH Maha Mengetahui, walaupun dihidupkan kembali untuk tempoh sesaat pun, manusia akan mudah lupa kepada apa yang telah diikrarkan….. (Na’uzubillah)


Harap diri sendiri lebih terkesan dengan tazkirah ni.



Berikut adalah petikan dari majalah Solusi – Kata Dua


FIKIR TAPI JANGAN KHUATIR


Rancang dan bekerjalah dengan apa yang ada di tangan. Jangan bimbang akan hal-hal tidak menentu dalam angan-angan. Yang di tangan itulah yang sebenar. Yang dalam angan-angan itu masih samar. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samara – masa lalu yang telah jadi memori; masa depan yang masih ilusi. Hidup hakiki ialah hari ini. Itulah yang realiti.


Kata cerdik pandai: “Beradalah di tempat kamu berada” Maksudnya, jangan lari dari realiti. Usah absent minded. Hidup dan beradalah dalam hari ini. Jangan khuatiri hari esok. Jangan bimbangkan hari semalam.


Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang. Hidup umpama membaca buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang ‘mood’ untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh, hingga membaca secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib mukasurat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.


Begitulah juga dalam soal ‘membaca’ kehidupan ini. Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang tidak berangan-angan tetapi menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.


Generasi solihin itu tidak terdera oleh percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba kabur.


Mereka adalah insan produktif. Sikap yang dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W.: “Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang…”.


Pernah suatu malam Nabi S.A.W. agak rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya mengapa, baginda bersabda: “Aku risaukan dua tiga keeping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh ALLAH (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan”.


Baginda juga pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda berasa tidak yakin apakah sempat menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah akan dapat melepaskannya semula.


Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam (sunnatullah) menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku.


Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-ubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar ALLAH dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup tanpa diganggu walau sedikit pun pengetahuan tentang masa hadapan.


Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati mengejut? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya.


Madah pujangga: “Masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… Tetapi selamatkanlah hari ini yang sedang hidup”.


Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban kebimbangan masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Life made it simple!


Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyak bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.


Sangka baik. Dan teruskan kerja. Pakar psikologi, Robert Louis Stevenson berkata: “Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh”.





ps: Sama2 kita doakan keselamatan dan kesejahteraan untuk ibu akhi Syed dan keluarganya. Selamat Pengantin Baru kepada Amirullah... Semoga rumahtangga yang dibina diberkati dan dirahmati ALLAH di dunia dan akhirat.

No comments: