Wednesday, June 18, 2008

Peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Isu Perubahan Iklim (Climate Change)

Oleh: Noor Azwan Shairi (@ Abu Syafiq)

Perubahan Iklim (Climate Change) ataupun Pemanasan Global (Global Warming) adalah satu isu global yang sangat penting bagi setiap masyarakat dunia sama ada yang kaya atau yang miskin, yang tua atau yang muda, yang tinggal di kampung mahupun di bandar, yang berkulit putih ataupun berkulit hitam untuk mengambil peranan dalam menyelesaikan masalah ini.

Sebelum itu, kita perhatikan dan hayati ayat-ayat Allah ini.

Firman Allah:"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya". Surah: Al-A’raaf, Ayat 56.

Firman Allah:"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Surah: Ar-Ruum, Ayat 41.

Dalam kitab Tafsir Al-Azhar [1] berkaitan ayat-ayat di atas, Prof Dr. Hamka menulis,"Kadang-kadang termenung kagum kita dengan ayat-ayat ini. Sebab dia dapat saja ditafsirkan sesuai dengan perkembangan zaman sekarang... . Misalnya tentang kerosakan yang terjadi di darat kerana bekas buatan manusia ialah apa yang mereka namakan polusi (pencemaran), yang bererti pengotoran udara akibat asap dari zat-zat pembakar (petrol/disel), minyak tanah,......"

Sebagai hamba Allah, kita mesti insaf serta menjaga alam sekitar seperti mana yang Allah telah jelaskan dalam ayat-ayat di atas.

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology - ICT) hari ini ada peranannya dalam mengurangkan masalah perubahan iklim dan pemanasan global. Beberapa tindakan telah dan sedang dilaksanakan di kalangan jurutera, penyelidik dan saintis dalam bidang ICT.Jailan Simon [2] semasa perbentangan di 'The 14th Asia-Pacific Seminar on Climate Change' pada 21-24 September 2004 di Sydney, Australia telah menggariskan beberapa tindakan yang dapat mengurangkan pemanasan global dalam bidang ICT. Beberapa langkah tersebut adalah seperti:
  1. Pengecilan produk telekomunikasi (cth: telefon bimbit) membawa kepada penggurangan penggunaan bahan-bahan pembuatan produk. Sebagai contoh, penggunaan bahan-bahan mentah seperti plastik, silicon, kuprum dan timah untuk membuat telefon bimbit akan berkurangan.

  2. Meningkatkan penggunaan teknologi komunikasi untuk berkomunikasi dan bekerja. Contoh: tele-sidang (tele-conference) atau bekerja di rumah (home-office). Ini akan mengurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan bahan bakar seperti petrol, disel dan NGV dalam urusan mesyuarat atau bekerja.

  3. Di samping itu, peninggkatan penggunaan ICT dapat mengurangkan penggunaan kertas yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu.

Sebaliknya lebih banyak kita menggunakan ICT maka lebih banyak kita menggunakan tenaga elektrik. Maka perlu pula pihak yang lain (kejuruteraan elektrik kuasa) untuk mencari sumber-sumber penjanaan elektrik yang tidak mencemarkan alam.

Oleh itu, amat wajar juga para jurutera, penyelidik dan saintis dalam bidang ICT mencipta produk-produk ICT yang menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Ini sudah pasti akan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dalam penyelesaian masalah perubahan iklim dan pemanasan global.

Menurut International Telecommunication Union (ITU) [3], dianggarkan 2% hingga 2.5% pengeluaran gas rumah-hijau (greenhouse gas - GHG) adalah disebabkan penggunaan ICT. Namun, ICT juga boleh berperanan dalam mengurangkan perubahan iklim dan pemanasan global jika langkah-langkah yang dihuraikan di atas dapat dilaksanakan dengan berkesan.



Atas kesedaran itu maka ITU telah menganjurkan 'ITU Symposia on ICTs and Climate Change' pada 15-16 April 2008 di Kyoto, Japan dan 17-18 June 2008 di London, UK.



Sebagai penutup, Teknologi Maklumat dan Komunikasi ada peranannya dalam menyelesaikan atau mengurangkan masalah perubahan iklim dan pemanasan global. Teknologinya perlu berkembang untuk kebaikan masyarakat dunia. Justeru itu, para jurutera, penyelidik dan saintis dalam bidang ICT perlu menghasilkan teknologi ICT yang tidak mencemarkan alam sekitar seperti mana yang Allah telah nasihatkan dan sebutkan dalam Surah A'raaf dan Ar-Ruum.

Rujukan:
[1] Tafsir Al-Azhar. Oleh: Prof. Dr. Hamka

[2] Asia-Pacific Seminar on Climate Change (http://www.apnet.org/seminar/archives/14th.html)

[3] ITU and Climate Change (http://www.itu.int/themes/climate/index.html)

No comments: