Friday, December 14, 2012

tanda tanda kebesaran Allah melalui penciptaan manusia

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah, sesi usrah pada minggu ini menjadi penyegar kepada kerinduan terhadap mendalami Al Quran. InsyaAllah, hendaklah kita terus berusaha mendalami Al Quran dan mendampingi mereka yang mahir dalam tafsir.

Penciptaan manusia dan proses pembesaran manusia merupakan satu tanda kebesaran Allah S.W.T. Proses ini berulang ulang mengikut urutan pada setiap zaman. Tidak ada manusia manusia biasa yang tidak melalui zaman didalam kandungan ibu, bayi, remaja dan seterusnya tua jika umurnya panjang.

Rasulullah membacakan ayat ayat yang menerangkan proses kejadian ini pada masa manusia tidak mampu menerangkannya. Jadi, apa lagi alasan untuk kita menolak keseluruhan risalah yang dibawa Rasulullah.



Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), 

maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, 

kemudian dari setitik air benih

kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; 
(Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); 

dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak

kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) 
dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. 

Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
(Al-Hajj 22:5)

Maha suci Allah yang menghidupkan makhluk, mematikan dan kemudiannya membangkitkan semula hambaNya untuk menghadapNya di hari Kiamat. Ayuh teruskan membaiki amalan dan serulah orang lain membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.

D

Saturday, December 8, 2012

Lumrah perjuangan, perjalanan masih panjang

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah baru baru ini GBSian berpeluang melawat institusi pemuda di Indonesia. Antara latihan yang dilalui pemuda pemuda disana ialah latihan fizikal.

Bagi GBSian, fizikal yang baik adalah satu kelebihan. Sebaik baiknya kita terus memperbaiki keadaan fizikal kita. Namun harus diingatkan bahawa fizikal yang sihat harus diisi dengan rohani yang kuat. Kebergantungan kita kepada Allah hendaklah kuat. Doa kita hendaklah ikhlas. Pengabdian kita kepada Allah dalam solat solat malam hendaklah kuat.

Lagu Jalan Juang oleh Izzatul Islam menggambarkan keadaan seorang mujahid atau pendakwah. Pendakwah akan mengalami banyak rintangan dan kepenatan. Namun, semua itu dilalui demi mengejar janji Allah. InsyaAllah Usrah GBS akan berkongsi kisah lain yang dapat diteladani.

Jejak oleh Izzatul Islam

menapaki langkah-langkah berduri
menyusuri rawa, lembah dan hutan
berjalan diantara tebing jurang
smua dilalui demi perjuangan

letih tubuh di dalam perjalanan
saat hujan dan badai merasuki badan
namun jiwa harus terus bertahan
karna perjalanan masih panjang

kami adalah tentara Allah, siap melangkah menuju ke medan juang
walau tertatih kaki ini berjalan
jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan

wahai tentara Allah bertahanlah,,
jangan menangis walau jasadmu terluka
sebelum engkau bergelar syuhada
tetaplah bertahan dan bersiap siagalah

Oleh itu, jom tingkat kan kecerdasan dan persediaan mental dan fizikal

Wednesday, November 7, 2012

saad as sulami: pemuda yang mendapat redha Allah

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah banyak kisah para sahabat nabi yang kita dapat contohi. Antaranya ialah kisah Saad As Sulami. Jika mendengar kisah sahabat ini, pasti ramai yang akan merasa sedih dan juga gembira.

Sedih kerana melihat seksaan yang diterima oleh Saad As Sulami akibat diseksa musuh Allah dalam peperangan.

Namun, yang lebih mengujakan lagi ialah bagaimana Saad As Sulami mendapat ganjaran yang diidam idamkan semua iaitu kembali kepada Allah dalam penuh keredhaanNya dan mendapat ganjaran syurga.

Harus diingatkan bahawa, ganjaran yang diperolehi Saad As Sulami bukanlah dengan cara yang mudah. Sahabat Rasulullah ini melakukan urusan jual beli dengan Allah dengan perniagaan yang menguntungkan.Pengorbanan perlu dilakukan, alasan boleh diberikan namun kerana matlamat yang jelas, belia mengorbankan apa yang sangat dihajatinya didunia.

Moga kita dapat mencontohi pengorbanan sahabat ini. Ayuh kuatkan keteguhan iman kita, tetapkan bangun malam kita dan tambahkan amalan. InsyaAllah didikan dalam usrah akan membawa kita ke pengakhiran yang sama, kembali kepadaNya dalam penuh keredhaanNya.


pautan:
http://panaharjuna.wordpress.com/2011/09/01/saad-as-sulami-pengantin-syurga/

Monday, October 29, 2012

belas kasihan pada haiwan

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah, minggu minggu yang berlalu usrah dirasakan sesuatu yang sangat berharga. Usrah menjadi tempat bermuhasabah dan menyuburkan kembali nilai nilai yang ingin diterapkan dalam individu muslim. InsyaAllah daripada kesan individu muslim ini akan mengubah keluarganya, seterusnya memberi kesan kepada masyarakat. Malah, kesan tarbiah bukan sahaja memberi rahmat kepada masyarakat sekeliling, haiwan dan alam juga turut merasa kesannya.




Antara perkara yang sering kita lihat di sekeliling kita ialah haiwan haiwan peliharaan. Janganlah kita sakiti mereka. Hendaklah memberi bantuan jika ada yang tercedera ataupun sakit.

Jika membela haiwan peliharaan, pastikan makanan dan airnya cukup supaya kita tidak mendapat dosa kerana menganiaya haiwan.



Monday, October 8, 2012

GBSian - berdakwah dengan seni fotografi

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah pada minggu ini sempat GBS menyertai program bengkel fotografi di Pulau Pinang. Tempat fotografi kali ini ialah di Empangan Mengkuang. SubhanaAllah tempatnya sungguh cantik terutama di awal pagi. Empangan Mengkuang sesuai untuk menjadi tempat mendapatkan gambar matahari naik yang cantik.

Bagi penggemar fotografi, mereka perlu sampai awal pagi. Seeloknya setengah jam selepas solat subuh. Jadi antara strategi GBSian ialah bertolak awal selepas solat subuh ataupun solat subuh berdekatan masjid.

InsyaAllah aktiviti seperti ini jika dilakukan berlandaskan Islam akan memberi banyak peluang untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam. Kita akan lebih mensyukuri nikmat penglihatan yang Allah kurniakan. Maka, pandanglah kita kepada ciptaan Allah disekeliling kita ini. Bukankah Allah mencipta penglihatan ini supaya kita lebih mengenal Allah?

Deria penglihatan yang Allah kurniakan sangat hebat. Apabila kita meningkat dewasa, deria ini semakin sensitif dan aktif. Pada pendapat GBSian, inilah yang menjadikan ramai orang minat kepada fotografi dan amat menghargai gambar gambar yang cantik. Sudah pasti kekaguman kita ini patut membawa kita kepada kekaguman kepada kuasa pencipta alam ini.


Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;
(Faatir 35:27

Friday, October 5, 2012

jom mengenal Allah

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah hidup kita ini berada dalam cahaya iman dan islam. Kita seharusnya menghargainya dan menjaganya. Menjaganya agar tidak dikotori dan dimasuki unsur unsur yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk kita lebih menghargai iman dan islam yang ada pada kita. Kita boleh melihat pada rakan rakan saudara baru yang memeluk Islam. Sesungguhnya, mereka memeluk Islam kerana melihat Islam itu cantik dan menjawab persoalan persoalan kehidupan.

Diantara persoalan besar tentang kehidupan ialah tentang pencipta alam dunia ini. Siapakah pencipta alam ini? Apakah dia lelaki atau perempuan? Adakah ada banyak pencipta alam ini? Sudah pasti soalan ini berlegar legar dalam kotak pemikiran dan perlukan kepada satu jawapan yang tepat.



Seorang saudara baru di Ireland telah memeluk Islam setelah sekian lama dibelenggu dengan permasalahan ini. Beliau mencari cari jawapan kepada pencipta dan penciptaan alam. Akhirnya belia menjumpai jawapan itu didalam surah yang selalu kita baca dan amat arif, iaitu surah Al Ikhlas.

1. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

3. "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

4. "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

GBSian boleh melihat sendiri rakaman video di pautan dibawah.
pautan: http://www.youtube.com/watch?v=GeWuI-BqsqA

Semoga dengan kita membantu saudara baru disekeliling kita, kita akan bertambah memahami dan menghargai Islam yang ada pada kita sebagai sesuatu yang sangat berharga.

Friday, September 14, 2012

Agar hati tidak mati

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah dalam dua minggu ini, GBSian kembali berusrah setelah bulan syawal. Semoga sepanjang bulan syawal ini, kita sudah dapat menunaikan ibadah puasa enam hari. Besar fadhilat berpuasa enam hari di bulan syawal.

Hati manusia perlu sentiasa di siram dengan peringatan dan nasihat supaya hati ini terus tenteram dan redha kepada Allah. Semoga hati kita ini semakin hari semakin dekat dengan Allah SWT.

Antara Tanda hati yang mati

Antara tanda hati yang mati ialah kita tidak mengamalkan sunnah Rasulullah tercinta dan mempertahankan Rasulullah. Hati yang hidup akan membenarkan sunnah Rasulullah dan sentiasa mengkaji kehidupan Rasulullah sebagai panduan kehidupan.

Antara sunnah Rasulullah yang besar ialah berdakwah. Oleh itu, umat islam hendaklah sentiasa berusaha untuk mengamalkan sunnah ini. Moga dengan mengamalkan dakwah kita akan lebih menghargai Islam yang dibawa Rasulullah.

Ketika Rasulullah dihina dan didusta



Sebagai seorang muslim, kita hendaklah berusaha menolak dan menentang penghinaan yang ditujukan kepada Rasulullah dan ahli keluarga baginda. Tohmahan yang dibuat hendaklah ditangani dengan hikmah dan berani. Jangan biarkan Rasulullah dihina. Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah terbukti dengan kita mengikut ajaran Islam dan mempertahankan kesucian Rasulullah dari dihina.

Berdoa agar Allah memberikan hati yang bersih

Kita hendaklah memohon kepada Allah SWT supaya diberikan hati yang bersih.Hati yang bersih sahaja yang dapat patuh kepada Allah dan Rasulullah. Hati yang bersih sahaja dapat menerima hidayah. Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Beruntunglah mereka yang mendapat cahaya hidayah daripada Allah.


Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(An-Nuur 24:35)

Friday, September 7, 2012

Kesan tarbiah ramadhan

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah S.W.T atas nikmat islam dan iman yang diberikanNya kepada kita. Bulan ramadhan yang lalu merupakan satu bulan tarbiah rohani untuk membentu jiwa dan peribadi muslim yang diinginkan Islam.

Didalam bulan ramadhan kita diperintahkan supaya berpuasa meninggalkan makan dan minum serta perkara lain yang membatalkan puasa. Disamping itu ibadah juga ditingkatkan dengan qiam, tilawah dan solat tarawikh. Justeru itu, kesan tarbiah ramadhan pasti menampakkan hasil pada bulan bulan bulan seterusnya.

Saranan

Beberapa saranan yang kita dapat lakukan selepas ramadhan sebagai penerusan tarbiah ramadhan ialah:

1. Puasa sunat isnin dan khamis
2. solat berjemaah di masjid
3. solat/ qiyam di tengah malam
4. menjauhi adat yang tidak bertepatan dengan islam atau bidaah
5. menjadi pemurah kepada fakir miskin


Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.
(Al-Baqarah 2:276)

6. menyambung silaturrahim terutama kepada saudara yang mempunyai pertalian darah
7. terus menghadiri majlis ilmu
8. berterusan melakukan taubat dan istighfar.


Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
(Al-Anfaal 8:33)

Semoga kita dapat sama sama meneruskan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah dan ajaran Islam tercinta :)

Wednesday, August 29, 2012

Empat tanggungjawab kepada Al Quran

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah, kini bulan ramadhan sudahpun berlalu, semoga amalan amalan kita diterima. Banyak aktiviti menarik yang dijalankan seperti qiam dan bersedekah disepanjang bulan puasa. InsyaAllah aktiviti aktiviti ini dapat diteruskan lagi.

Bulan ramadhan yang lalu menjadi medan tarbiah untuk kita semakin kerap berdamping dengan Al Quran. Bukan sekadar untuk dibaca dan dikhatam, malah untuk dihayati.

Disini beberapa nota yang dapat dikongsikan dari Qiyam Perdana yang GBSian ikuti ramadhan lalu.

Dua orang kanak kanak yang tidak melepaskan peluang
tilawah Al Quran di bulan ramadhan yang lalu :)


Tanggungjawab terhadap Al Quran
1. Tilawah ( membaca )
2. Hafal
3. Faham
4. Amal

InsyaAllah nanti akan dikongsikan juga mengenai kajian menarik ayat ayat al quran yang hampir sama tapi tak serupa :)

Tuesday, August 14, 2012

aktiviti GBS sepanjang ramadhan 1433 H

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah bulan ramadhan kali ini merupakan satu bulan yang sibuk dan penuh dengan aktiviti. Kita hendaklah menggunakan bulan ini sebaik baiknya untuk memperbanyakkan amalan.

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah berbuka puasa dan beriktikaf beramai ramai. Semoga usaha ini dapat menambahakn ukhuwwah dan semangat untuk beribadah.

Iktikaf Perdana Ikram Pulau Pinang, 10-12 Ogos

Pada minggu lepas, pertubuhan ikram telah mengadakan Iktikaf Perdana di Masjid Daerah Balik Pulau. Tujuan iktikaf ini ialah untuk menggalakkan orang ramai untuk menghidupkan sunnah iktikaf yang diamalkan Rasulullah pada 10 malam terakhir. Pada 10 malam terakhir, Rasulullah akan menghabiskan masa di masjid dan tidak bersama isteri isteri baginda. 10 malam terakhir digunakan sebaik mungkin untuk memperbanyakkan ibadah. Jadi, kita harus menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam menjalani ibadah puasa.

Banyak pengisian kuliah menarik yang dikongsikan semasa program Iktikaf perdana ini. Antaranya ialah ceramah oleh Dr Danial Zainal Abidin, Prof Roslan dan Ustaz Syazalie.

Pengisian menarik daripada Dr Danial.
Antara pengisian menarik yang disampaikan Dr Danial ialah bagaimana Al Quran meransang manusia supaya berfikir. Antaranya ialah didalam ayat ayat yang menyuruh manusia supaya memerhati alam sekeliling. Tidak mungkin alam ini bersistem tanpa sebarang pencipta.




Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Al-'Ankabuut 29:20)

Thursday, July 26, 2012

semoga ramadhan kali ini tidak rugi

Assalamualaikum buat semua,

Alhamdulillah pada hari pertama ramadhan, sempat GBSian menolong memasang banner/kain rentang untuk memberi orang ramai penghayatan ramadhan.

semoga ramadhan kali ini tidak rugi

Antara tempat untuk menggantung kain rentang yang sesuai ialah ditempat tumpuan ramai seperti di masjid atau di universiti. Semoga aktiviti seperti ini kita semarakkan lagi insyaAllah buat peringatan kepada diri dan masyarakat.

Amalan amalan cadangan

1. Memperbanyakkan sedekah sebanyak mungkin. Korbankan wang ringgit untuk memperbanyakkan sedekah dan mengurangkan perbelanjaan dapur. Kurangkan juga pembaziran.

2. Memperbanyakkan amalan membaca quran. Waktu yang sesuai seperti selepas solat subuh dan selepas tarawikh boleh digunakan untuk membaca dan bertadarus Al Quran.

3. Memperbanyakkan solat malam. Solat malam di bulan ramadhan mampu menjadi medan latihan supaya terus menjadi amalan di bulan bulan yang lain. Banyakkan berdoa kepada Allah di waktu ini.

Semoga kita sama sama beramal dan saling ingat memperingati.

Friday, July 20, 2012

aktiviti ziarah kubur

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah, minggu ini sempat melaksanakan aktiviti ziarah kubur,


ziarah kubur pada waktu malam mengingatkan kita tentang kematian kita yang pasti



Antara adab adab ziarah kubur
1. Memberi salam kepada penghuni penghuni kubur mukmin, InsyaAllah kita juga akan kembali ke tempat yang sama.
2. Tidak melangkah, duduk diatas kubur
3. Tidak digalakkan bermusafir semata mata untuk melawat kubur
4. Tidak membuat binaan atau tempat solat diatas kubur

Ziarah kubur sebagai peringatan buat diri

Apabila berada dikubur, banyak perkara yang diingati. Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Bagi orang yang beriman dan beramal soleh, kematian membawa kepada kesejahteraan yang kekal abadi. Namun, bagi yang kufur dan berdosa, kematian menambah keresahan dan azab kerana mereka bakal menerima balasan setimpal atas setiap perbuatan.

Nilai dunia
Didalam Al Quran banyak diterangkan tentang hakikat dunia. Dunia ini adalah satu tempat ujian dan permainan. Manusia akan diuji untuk melihat siapakah yang terbaik amalannya. Kesusahan mahupun kesenangan merupakan satu bentuk ujian daripada Allah. Maka bersabarlah dengan ujian, dan tetapkan pendirian agar teguh menambah amal kebajikan.



Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun".
(An-Nisaa' 4:77)

Wednesday, July 11, 2012

gbs production crew

Assalamualaikum,

insyaAllah ahli ahli GBS diberi tugasan untuk melaksanakan aktiviti aktiviti media. Antara tujuan media ialah memberi laporan tentang aktiviti aktiviti kebajikan dan setempat yang berlaku di Pulau Pinang.

Kelengkapan peralatan kamera dan video sudah tersedia. Jadi GBS sudah boleh memulakan tugasan rakaman.

GBS sedang menguji peralatan video yang baru diperolehi

GBS masih lagi kekurangan kakitangan untuk aktiviti media seperti rekabentuk poster dan pengeditan gambar. Bagi yang berminat menyumbang bolehlah tinggalkan komen untuk dihubungi.


Friday, July 6, 2012

mukhayyam GBS 29 Jun 2012

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah baru baru baru GBSian sempat mengikuti program mukhayyam ataupun perkhemahan selama tiga hari bermula jumaat 29 Jun. Perkhemahan ini bertujuan untuk merapatkah ukhuwwah dikalangan ahli ahli usrah yang pelbagai. Disamping itu menerapkan semangat kerja berpasukan dan melatih sifat taat dalam melakukan kerja berpasukan.

Perkhemahan diadakan di Batu Kurau, Perak. Antara acara menarik ialah mengutip durian di kaki bukit batu kurau yang curam. Selain itu, terdapat juga latihan kerohanian seperti solat musafir, solat malam dan juga tazkirah.

bukit yang curam sanggup kami jelajahi ( zab, chedin dan muallim hisham )

ustaz lan menurunkan buat durian

akhi tarmizi mengambil wudu' untuk solat

solat di kawasan perkhemahan

sesi persembahan

bihun goreng untuk sarapan pagi


makan malam pada hari yang pertama ( ala kampung )

umar sedang mengutip buah buah durian

buah durian yang baru dikutip

makan tengah hari  dalam daun pisang berhampiran kawasan sungai
sesi perpisahan perkhemahan kali ini, insyaAllah jumpa lagi


Semuanya yang baik memerlukan pengorbanan

Antara perkongsian yang didapati ialah usaha mendapatkan yang sesuatu yang terbaik memerlukan pengorbanan yang tinggi. Kita dituntut supaya banyak bersedekah dan menyegerakan perbuatan baik. Sesungguhnya peluang dan waktu senggang bukan selalu hadir dan harus kita gunakan dengan sebaiknya.

InsyaAllah pengorbanan untuk mendapat keredhaan Allah sangat berbaloi. Orang yang beriman akan diganjarkan dengan syurga kelak yang merupakan sebaik baik ganjaran. Tidak ada sebaik baik nikmat sebaik nikmat di syurga. Jadi jom bersusah payah didunia agar kita bersenang senang diakhirat insyaAllah.


Jom tingkatkan tarbiah diri

Bagi yang belum mempunyai usrah, jom ikuti usrah dikawasan masing masing. InsyaAllah nikmat melalukan ibadah lebih terasa apabila kita bergerak dalam satu usrah yang teratur.



Friday, June 22, 2012

Perjumpaan IKRAM Pulau Pinang di Telok Tempoyak, 19 Jun 2012

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah pada Selasa, 19 Jun 2012, berlangsung perjumpaan ahli ahli IKRAM Pulau Pinang. Ahli Ahli baru berpeluang berjumpa dengan pimpinan IKRAM Pulau Pinang.
Majlis berlangsung sebelah malam di Restoran Ikan Bakar Telok Tempoyak.

YDP Ikram Ir Jamaluddin menyampaikan ucapan

GBSian menjamu selera

kenduri durian

reunion GBSian

Antara hidangan yang disediakan ialah kenduri durian, laksa dan makan malam.

Peluang ini digunakan GBSian untuk berkumpul disamping beramah mesra dengan ahli IKRAM yang lain.

Undangan khas

Antara undangan istimewa kali ini ialah Dr Danial Zainal Abidin yang selalu muncul di rancangan TV. Dr Danial mengingatkan para hadirin tentang membezakan antara pandangan dan pegangan. Ulama ulama boleh mengeluarkan padangan masing masing. Namun, kita harus berpegang kepada pegangan kita iaitu Al Quran dan Sunnah. Janganlah kita taksub kepada pandangan seseorang atau terlalu mengutamakan isu isu ranting.

InsyaAllah Dr Danial akan mengacarakan satu rancangan baru dalam tv berkenaan bagaimana Al Quran menjawab persoalan manusia.

Antara persoalan biasa ialah:
Benarkah Tuhan itu wujud?
Benarkah Nabi Muhammad itu seorang rasul?

Bersama sama kita nantikan rancangan terbaru ini. InsyaAllah akan menguatkan keimanan dan kefahaman kita.


Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
(Al-Waaqi'ah 56:80)



Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambilewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?
(Al-Waaqi'ah 56:81)

Thursday, June 21, 2012

tazkirah GBS bulan jun

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah usrah yang berjalan setiap minggu menjadi satu perhimpunan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Didalam suasana tarbiah kita berhimpun agar mendapat keredhaan Allah.

Antara kata kata yang menjadi tazkirah beberapa minggu ini ialah ayat dari surah Al Ankabut

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-'Ankabuut 29:2)


Kehidupan ini adalah satu ujian kepada orang orang yang beriman. Orang yang beriman akan redha dan sabar dengan ujian. Mereka yakin dengan janji Allah. Balasan kebaikan dan pengorbanan mereka ialah Syurga. Sesungguhnya orang beriman pasti akan berpuas hati dengan ganjaran yang akan mereka dapat di akhirat nanti. Jadi, janganlah kita terlalu sedih jika ujian melanda. Ayuh kuatkan lagi saf saf dan mengajak rakan rakan kearah mendekatkan diri kepada Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dimuka bumi ini.

Friday, June 8, 2012

riadah GBS

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah bulan ini adalah bulan yang sibuk bagi GBS, banyak aktiviti yang berjalan. Antaranya ialah menjalankan usaha usaha dakwah kepada rakan rakan GBS.

Riadah: Panjat Bukit Jambul

Alhamdulillah, akhirnya sampai juga kami ke puncak selepas berjalan selama 45 minit




Antara aktiviti riadah yang boleh dilakukan bersama ialah aktiviti panjat bukit. Riadah sesuai dilakukan diwaktu pagi atau petang. Selepas riadah ini, bolehlah bersarapan bersama sama. Contoh tempat sarapan yang menarik di Pulau Pinang ialah Pasar Taman Tun Sardon, Gelugor. Pelbagai jenis makanan terdapat disana dari kuih, bihun sup dan nasi.

InsyaAllah aktiviti bersama ini akan merapatkan ukhuwwah dan memberi masa untuk berbincang mengenai isu semasa dan perkara perkara berkaitan tarbiah atau pembanngunan diri.

Berusaha untuk memperbaiki tahap kesihatan

Kesihatan adalah satu nikmat anugerah daripada Allah. Sistem badan kita dapat mempunyai kerintangan terhadap penyakit jika dijaga dengan baik. Jadi hendaklah kita menjaga supaya kita dapat menggunakannya untuk kepentingan agama. Manalah tahu, kita dipanggil untuk menggunakan tenaga fizikal kita untuk berada di saf saf pertama sesuatu perjuangan.

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung”. (Ali Imraan : 200)


pautan:
http://www.lamankongsi.com/2011/12/al-quran-menjawab-keluhan-manusia.html

Monday, May 21, 2012

aktiviti seminggu GBSian

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah minggu lepas merupakan satu minggu yang padat bagi GBSian. Antara aktiviti yang dilakukan ialah merancang aktiviti yang pelbagai. Antara aktiviti yang dijalankan ialah puasa sunat, mengadakan bbq, qiamullail dan aktiviti kebajikan.

Berpuasa sunat isnin dan khamis

Antara amalan yang selalu dilakukan oleh Rasulullah tercinta ialah berpuasa sunat isnin dan khamis. Seboleh bolehnya kita juga turut mengamalkan puasa sunat secara konsisten. InsyaAllah ibadat ini dapat mendekatkan kita untuk sentiasa mengingati Allah dan Rasul. Disamping itu kelebihan puasa juga diakui oleh pengamal perubatan sebagai satu cara untuk membuang toksin terkumpul didalam badan. Disamping itu puasa juga dapat meningkatkan selera makan dan memberi kerehatan kepada sistem penghadaman kita.


BBQ di Pantai Queensbay 18 Mei 2012

Antara perancangan aktiviti belia ialah BBQ santai. Tujuan BBQ ini ialah untuk mengumpul rakan rakan dalam usrah. Disamping dapat bertemu dan bertanya khabar, aktiviti mengutip dana untuk tabung palestin juga dilakukan.

brother hafiz dan shahidan sedang memanggang ayam

chef azam datang membantu untuk mempercepatkan proses memasak

pelbagai jenis hidangan panggang disediakan
rehat dan santai sambil menderma

Qiyam di Hidayah Center

Selepas selesai acara BBQ, tibalah acara kemuncak malam tersebut iaitu qiamullail di Hidayah Center Pulau Pinang. Qiamullail juga merupakan antara sunah rasulullah. Rasulullah sentiasa melakukan ibadat malam walaupun baginda seorang yang maksum.



sesi tazirah selepas selesai solat subuh berjemaah



Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
(Al-Muzzammil 73:6)


Kembara kebajikan IBROCare 19 May 2012

Pada hari ahad, 20 Mei 2012 berlangsung acara pertama kelab kebajikan IBROCare. Antara matlamat IBROCare ialah menghimpun belia kearah kecenderungan aktiviti kebajikan berteraskan semangat ukhuwwah. Aktiviti ini diharap dapat menyuburkan lagi semangat untuk berbakti dan menyumbang dikalangan para belia dan masyarakat tidak mengira peringkat umur dan status.

.. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Al-Maaidah 5:2)


staf dari Plus Kubang Semang mengecat tembok pintu kubur

insyaAllah usaha sama ini akan diteruskan lagi

yang kecil dan tua sama sama membantu

adik adik pun boleh membantu

aktiviti membersihkan tanah perkuburan mengingatkan kita nilai dunia dan hakikat kehidupan..

pautan:
http://tayibah.com/eIslam/puasasihat.htm
http://www.surah.my/5
http://muntalaq.com/al-muntalaq/kewajipan-dakwah-ke-jalan-allah/

Thursday, May 10, 2012

jaulah ke pesta buku kuala lumpur

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah baru baru ini GBSian sempat singgah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di PWTC. Kunjungan ini hanyalah satu kunjungan ringkas disebabkan ada tugasan di Kuala Lumpur.

Kami sampai pada waktu petang kira kira jam 6 petang. Orang ramai penuh sesak didalam kawasan pameran kerana hujung minggu ini adalah hujung minggu terakhir pesta buku kali ini.

akhi Shahidan meneliti senarai buku yang ada

Antara gerai yang menarik untuk di kunjungi adalah gerai gerai pengeluar buku yang besar seperti PTS, Read Network, Galeri Ilmu, dan DBP. DBP menawarkan potongan sebanyak 90 peratus bagi buku buku yang lama. Namun, kandungan kandungan buku tersebut adalah bermutu.

deretan gerai yang ada, akhi Azhar menuju ke gerai gerai buku

Setelah selesai melawat pesta buku, GBSian singgah di Masjid Jamek untuk solat maghrib dan isya. Disamping itu dapatlah kami berehat kerana agak jauh perjalanan kali ini. Alhamdulillah perancangan untuk balik dengan keretapi tercapai apabila kami dapat menempah tiket balik menggunakan keretapi jam 11.00 malam.

suasana tenang di ruang legar masjid Jamek


InsyaAllah lain kali peluang untuk melawat pesta buku tidak akan dilepaskan. Kita hendaklah meluaskan bahan bacaan kita. Disamping itu jangan lupa membanyakkan masa membaca dan menghayati kandungan kitab Al Quran.


Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
(Al-'Alaq 96:1)


Pautan:
http://www.surah.my/96

Wednesday, May 2, 2012

BBQ Usrah GBSian - aktiviti rapatkan ukhuwwah bulan april

Assalamualaikum buat semua GBSian,

banyak aktiviti menarik yang GBSian jalankan sepanjang bulan April yang lalu. Satu aktiviti BBQ ditepi pantai dipilih untuk menghimpun GBSian yang lama tidak berjumpa. Disebabkan GBSian berkerja, jadi waktu hujun minggu dipilih.  Pada 13 hb April satu acara BBQ berlangsung di Pantai Queensbay, di Pulau Pinang. Acara memanggang ayam perap bermula selepas solat Isya'.

antara yang hadir

Shahril dan Imran sedang memanggang ayam perap

Syahid dan rakan Naim


Alhamdulillah aktiviti seperti ini mengeratkan silaturrahim. InsyaAllah akan diatur lagi pada masa hadapan secara berkala. Terima kasih pada Imran yang menyediakan bihun goreng. Antara peserta yang hadir ialah Suhaimi dan Ustaz Mujahid dari Pantai Jerejak.

InsyaAllah lain kali, solat berjemaah isya' boleh juga dilakukan ditepi pantai :)

Friday, April 20, 2012

aktiviti dua minggu usrah GBS, hiking ke pantai kerachut. 7 April 2012

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah sepanjang dua minggu berlalu, beberapa aktiviti telahpun berlangsung,
antaranya ialah hiking atau panjat bukit. Kali ini, GBS hiking ke Pantai Kerachut di Teluk Bahang. InsyaAllah satu sesi perkhemahan akan diadakan disana pada hari buruh kelak.

perjalanan ke pantai

awas tempat penyu lalu lalang ketika musim bertelur di pantai kerachut

pulang menggunakan bot


Aktiviti seperti ini dapat menyihatkan badan, jadi sebagai seorang muslim, kita harus juga menekankan kepada penjagaan kesihatan diri. Panjat bukit adalah satu aktiviti yang murah, dan selamat, cuma perlukan sepasang kasut yang sesuai dan jumlah penyertaan adalah tidak terhad.

Sepanjang sesi panjat bukit, kita dapat mempraktik beberapa perkara seperti melantik ketua perjalanan, berbincang mengenai tempat untuk menunaikan solat. Jadi, kita dapat melatih diri untuk solat didalam apa jua aktiviti.

Friday, April 6, 2012

konvoi ke Global March to Jerusalem Shah Alam 30 Mac 2012

Assalamualaikum semua GBSian,


antara poster promosi program yang akan diadakan



Alhamdulillah pada hari jumaat lepas, GBSian sempat mengikuti konvoi berkereta ke Stadium Malawati Shah Alam bersempena Global March to Jerusalem ( GMJ ). Sebanyak empat buah kereta berlepas dari Pulau Pinang ke Shah Alam pada jam 10 pagi. Konvoi dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor USM di padang kawad USM. Antara anggota konvoi kali ini ialah Hj Taufek yang pernah mengikuti misi Viva Palestine yang berkonvoi dari London ke Gaza sejauh 5000 kilometer.

Faiz, Shahidan dan Aris menyiapkan bendera kecil

para wakil dari universiti  mendengar ucapan dari Hj Taufek

wakil pelajar turut berucap untuk menyatakan sokongan terhadap usaha GMJ

barisan kereta yang menyertai konvoi dari USM

Konvoi seterusnya berhenti di hentian rehat Juru untuk berkumpul dengan anggota konvoi lain yang menunggu di sana. Hj Rashid Hasnon yang bersemangat memberi kata kata semangat kepada anggota anggota konvoi. Hj Rashid Hason juga pernah mengikuti aktiviti konvoi ke Gaza pada bulan ramadhan. InsyaAllah Masjid Al Aqsa akan dibebaskan semua.

konvoi bergambar di hentian Juru

Hj Rashid memberi kata kata semangat kepada para ahli konvoi

Seterusnya konvoi bergerak ke Perak. Kami berhenti solat di Kuala Kangsar. Sempat juga singgah ke kedai membuat pasu yang tidak jauh dari susur keluar Kuala Kangsar. Konvoi bergerak lagi menuju destinasi Stadium Malawati, hentian terakhir di buat di simpang pulau untuk menunggu rombongan dari Kedah.

masjid lama di Kuala Kangsar yang dibaik pulih


kedai pasu yang berada di Kuala Kangsar

kereta konvoi dengan pelekat Aqsa Syarif


Setelah rombongan bas dari Kedah sampai, konvoi bergerak ke Hentian Jejantas Sungai Buluh. Disana pengiring pengiring konvoi bermotosikal menunggu untuk mengiringi kami ke Stadium Malawati. Alhamdulillah dengan kecekapan mereka, kami dapat tiba dengan selesa di stadium Malawati walaupun ketika itu warga kota memenuhi jalanraya untuk pulang ke rumah dari kerja.

para ahli konvoi mendengar penerangan dari pengiring bermotosikal

salah sebuah kereta konvoi bersama pengiring bermotosikal


Di stadium malawati, kami menunaikan kewajipan solat di kawasan pejalan kaki berdekatan dengan tempat letak kereta. Surau dipenuhi dengan jemaah yang hadir lebih awal. Alhamdulillah kami dapat menunaikan solat  sebelum meneruskan perjalanan ke dalam stadium.

ahli konvoi bersiap untuk menunaikan solat

solat dikawasan lapang sebelum berjalan kaki menuju ke stadium

alhamdulillah semua ahli konvoi selamat sampai di stadium malawati

Acara acara di malam Global March To Jerusalem

Acara GMJ dimulakan lebih kurang jam 9 malam. Pengacara majlis pada malam tersebut ialah Ally Iskandar dan juga Nurul Iman dari Tv al hijrah. Kata kata ucapan daripada Dr Musa dan Dr Tahir memulakan majlis tersebut. Seterusnya rakaman ucapan daripada perwakilan parlimen britain George Galloway dan juga ucapan dari perdana menteri Gaza Ismail Haneyya.

Kemudian acara persembahan oleh artis artis terkenal seperti Yasin, Muadz dan Mirwana menyerikan acara pada malam tesebut. Lagu lagu yang dinyanyikan berkaitan dengan tema pembebasan Palestin dan juga keamanan.

Pada malam tersebut juga, penyampaian sajak, pandangan dari wakil pelbagai bangsa diadakan. Acara ini memberi kesedaran kepada para hadirin yang hadir bahawa isu penindasan di Masjid Al Aqsa adalah isu yang benar dan memerlukan pembelaan setiap insan tanpa mengira latar belakang bangsa. Sesungguhnya penindasan yang berlaku tidak mengenal batas bangsa dan negara. Jadi umat manusia ini perlu kepada penyelesaian kepada isu isu kemanusiaan sejagat.

Tonjolkan Islam sebagai agama cintakan keamanan dan kebebasan
Hasil daripada menyertai konvoi GMJ ini, GBS dapat merasakan penghayatan Islam sebagai agama yang mengajak umatnya cintakan kepada keamanan. Penindasan memerlukan pembelaan dimana sahaja ia berlaku. Umat Islam adalah bersaudara. Tanah Baitul Muqaddis dimana terletaknya Masjid Al Aqsa telahpun diwakafkan oleh Saidina Umar sebagai warisan umat islam. Umat manusia dari pelbagai latar belakang bangsa  dan agama bebas melaksanakan aktiviti masing masing. Umat Islam telah membuktikan bahawa Islam menghormati kebebasan ini beratus tahun lamanya. Sesungguhnya umat islam lah selayaknya menjaga bumi yang penuh barakah ini.

Hadirlah kita menyahut panggilan pembebasan Masjid Al Aqsa
Ayuh kawan kawan, kita sahut panggilan membebaskan Masjid Al Aqsa. Saudara seagama kita di sana sudah lama berkorban untuk mempertahankan Al Aqsa yang mulia ini. Marilah kita sama sama berada dalam barisan saf saf yang kukuh untuk membantu membebaskan Masjid Al Aqsa. Berilah sumbangan tenaga dan harta supaya beroleh kita catatan sebagai satu amal kebajikan kita.


Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
(As-Saff 61:10)



Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(As-Saff 61:11)

pautan:
http://www.mygmj.org/
http://www.surah.my/61