Friday, November 29, 2013

muhasabah hati manusia

Alhamdulillah usrah GBSian berlangsung seperti  biasa, didalamnya banyak muhasabah yang dapat di ingati. Apabila mendengar penerangan ayat ayat al quran daripada mereka yang memahami dan menghayatinya, maka kita akan berasa kagum dengan Al Quran. Bahkan kita akan merasa kebenaran ayat Al Quran tidak dapat disangkal lagi.

Hati manusia digambarkan didalam Al Quran boleh menjadi lebih keras daripada batu. Ini menggambarkan betapa degilnya manusia dalam menerima kebenaran walaupun sudah jelas. Bagaimana manusia menjadi begitu sombong dengan penciptanya.

Sekeras keras batu, masih terpancar dan meresap air sehingga menjadi mata air dan anak sungai. Semoga Allah memelihara hati hati kita.

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
(Al-Baqarah 2:74)

 Mengambil pelajaran mengenai Al Quran

Oleh itu, hendaklah kita membuka hati dan menerima kebenaran Al Quran. Hendaklah kita mendalami Al Quran dan cuba memahami Al Quran dengan sebaiknya. InsyaAllah Al Quran akan menjadi petunjuk dan penawar kepada permasalahan kita.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.
(Al-Hadiid 57:16)

pautan:
http://www.surah.my/57

Friday, November 22, 2013

GBSian dalam larian Penang International Marathon 2013

Alhamdulillah pada ahad yang lepas GBSian sempat mengikut larian penang international marathon. Larian bermula jam 1 pagi bagi peserta Marathon. Bagi larian 21 km, larian bermula jam 3.00 pagi.

Cuaca agak dingin pada hari tersebut kerana hujan pada tengah malam yang menjadikan larian lebih selesa. Alhamdulillah larian dapat ditamatkan selepas dua jam. Solat subuh berjemaah tidak ditinggalkan walaupun penat menghabiskan larian.



Manafaat aktiviti larian

Aktiviti larian/ berjalan sebenarnya mempunyai banyak manafaat. Antaranya:

1. Boleh dijadikan satu aktivit riadah mingguan
2. Belanja permulaan yang lebih murah, hanya memerlukan sepasang kasut.
3. Boleh bertemu rakan rakan baru
4. Boleh berdakwah atau menyampaikan kepada masyarakat tentang sesuatu perkara
5. Boleh disertai dalam bilangan yang ramai dan tidak mengira peringkat umur.

InsyaAllah pada tahun depan GBSian akan lebih melibatkan diri dalam aktiviti larian disamping menyampaikan mesej mesej Islam.

Wednesday, October 30, 2013

GBSian: menggunakan smartphone atau telefon pintar untuk meningkatkan aktiviti ibadah

Alhamdulillah, pada masa kini smartphone seperti Iphone, Samsung Galaxy menjadi kegemaran ramai untuk dijadi peranti komunikasi terkini. Pelbagai kerja dapat dilakukan mengunakan telefon pintar seperti melayari internet.

Ayuh gunakan telefon pintar untuk aktiviti aktivit berfaedah seperti berikut:

1. membaca al quran
Al quran digital dapat dimuat turun dan dibaca. Jadi kesukaran seperti membawa naskah al quran tafsir dapat diatasi. Anda boleh membaca Al Quran dimana mana tanpa perlu bersusah payah membawa naskah Al Quran.

2. mengejutkan bangun qiyam
Perisian alarm clock dapat digunakan untuk mengejutkan penggunanya untuk bangun. Seelok eloknya waktu di letakkan sebelum waktu solat subuh supaya anda dapat melakukan ibadah qiyam.

3. berkongsi bahan tazkirah
Dengan menggunakan perisian seperti whatsupp atau line, maka dapatlah kita berkongsi bahan bahan tazkirah. Semoga diri kita semakin dekat kepada Allah dengan saling ingat mengingati.

sebagaimana pada pengakhiran ayat2 surah al maidah
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Al-Maaidah 5:2)

pautan:
http://www.surah.my/5

Thursday, October 24, 2013

Ibadah korban sebagai satu syiar Islam

Alhamdulillah sudah hampir seminggu hari raya aidil adha tahun 1434 H berlalu. Namun, penghayatannya hendaklah sentiasa kita ingati sebagai pedoman seorang muslim.

Ibadah korban adalah ibadah menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta sebagai satu ibadah kerana Allah. Ibadah ini adalah sebagai mana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dalam menuruti perintah Allah. Nabi Ibrahim patuh kepada suruhan Allah untuk menyembelih anaknya yang disayangi iaitu Nabi Ismail. Kepatuhan dan pengorbanan Nabi Ibrahim akhirnya diterima Allah dan tempat Nabi Ismail diganti dengan seekor kibas.

Jadi GBSian menyeru rakan rakan untuk sama sama terlibat dalam ibadah korban. Ikhlaskan niat untuk mendapat redha Allah. Daging dari sembelihan korban bolehlah di agih agihkan kepada yang memerlukan. Elakkan daripada tidak terlibat dalam aktiviti korban kerana menyembelih haiwan ternakan adalah satu syiar Islam semasa hari raya aidil adha.

Sebagai penghayatan ibadah korban, khutbah khutbah hari raya aidil adha banyak mengingatkan tentang surah as saffat yang menceritakan pengorbanan Nabi Ibrahim. Dan sebagai ganjaran Allah menganjari Nabi Ibrahim dengan kemuliaan.

Semoga kita berusaha menuruti perintah Allah sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim.



Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
(As-Saaffaat 37:102)

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
(As-Saaffaat 37:103)

Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
(As-Saaffaat 37:104)

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
(As-Saaffaat 37:105)

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
(As-Saaffaat 37:106

Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
(As-Saaffaat 37:107)

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
(As-Saaffaat 37:108)

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
(As-Saaffaat 37:109

Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
(As-Saaffaat 37:110

pautan: http://www.surah.my/37

Friday, October 4, 2013

GBSian menyokong perjuangan Palestin, Mesir dan Syria

Alhamdulillah baru baru ini GBSian sempat menyertai program Futsal For Freedom. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada golongan belia tentang perjuangan rakyat yang tertindas di mesir, syria dan palestin akibat pergolakan politik dan kerajaan yang zalim.

Alhamdulillah di Malaysia kita bersyukur kerana masih dikurniakan keamanan. Suasana aman ini seharusnya digunakan untuk membantu saudara saudara kita di sana.



Kerajaan yang zalim sentiasa wujud dari satu zaman ke zaman yang lain. Didalam Al Quran diceritakan tentang kisah kerajaan Firaun yang zalim terhadap rakyat. Terdapat banyak ayat yang menceritakan kezaliman kerajaan Firaun.

Firaun dengan segala kekuasaannya angkuh dan mengaku tuhan. Akhirnya Firaun mati dalam keadaan yang hina.



Semoga kita mengambil pengajaran dan iktibar. Jangan lupa teruskan berdoa dan memberi bantuan kepada saudara kita di timur tengah. Sesungguhnya Allah bersama sama mereka yang sabar dan gigih.

Wednesday, September 25, 2013

melihat kebesaran Allah dalam penciptaan hujan

Alhamdulillah sabtu yang lepas GBSian dapat meluangkan masa bersama dalam satu program untuk memperkayakan iman. Didalam program tersebut banyak aktiviti yang memberi sentuhan rohani dan muhasabah yang dapat membentuk diri dan mendekatkan diri kepada mensyukuri nikmat Allah.

Diantara pengajaran yang disampaikan ialah tentang penciptaan hujan. Bagaimana unsur air meruap ke udara menjadi awan. Berjuta juta tan wap air terapung di udara. Jikalau kesemuanya jatuh sebagai satu himpunan air, sudah pasti akan rosak dan binasa bumi ini.

Namun, dengan rahmat dan kasih Allah SWT, hujan diturunkan didalam titis titis yang kecil dan menyegarkan. Titisan ini pula sampai kepada seluruh muka bumi. Jika tugas ini diamanahkan kepada manusia untuk dilakukan sendiri. nescaya manusia mengalami kesukaran untuk melakukannya.

Titisan titisan ini jatuh dan diserap kebumi sebelum keluar sebagai anak anak sungai yang akan memenuhi sungai dan tasik. Dengan ini, manusia dapat menggunakkan sumber air untuk kegunaan yang pelbagai. Ternyata terdapat tanda tanda kebesaran penciptaan yang kita selalu alpa.

Tanda tanda kebesaran ini tidak mungkin disedari jika kita tidak mengkaji dan mempelajari. Jadi, disinilah letaknya kepentingan ilmu. Ilmu itu sangat luas dan menarik untuk dikaji bagi meningkatkan keimanan kita kepada Allah Maha Pencipta.

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, 
kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, 
kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? 
Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. 
Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; l
alu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, 
dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. 
Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.
(An-Nuur 24:43)

Thursday, September 19, 2013

solidariti ummah isu krisis syria, mesir dan palestin

Assalamualaikum GBS,

Alhamdulillah kita masih lagi berkesempatan untuk menunaikan ibadah dan dakwah secara aman di Malaysia. Bagaimanapun nasib saudara kita di timur tengah semakin terancam. Seharusnya kita tidak menganggap isu ini adalah masalah negera Arab sahaja.

Masalah ini sebenarnya adalah satu masalah ummah yang memerlukan penyelesaian daripada umat Islam seluruh dunia. Kekejaman yang berlaku di Mesir, Syria dan Palestin memerlukan pembelaan kita. Bumi Syams yang merupakan bumi yang diberkati telah tercemar dengan pertumpahan darah ratusan ribu umat islam yang tidak berdosa.



Nasib negara ini sekarang ditentukan oleh kuasa kuasa besar dari negara bukan Islam. Rakyat menderita akibat tidak dapat menentukan hala tuju negera berdasarkan kehendak sendiri. Cengkaman diktator diktator di negara timur tengah cuba dileraikan oleh rakyat kerana mereka tidak lagi dapat menahan seksaan dan pelbagai bentuk penindasan yang berlaku sehingga hari ini. Negara negara kuasa besar teragak agak untuk membantu kerana perlu menjaga kepentingan Israel.

Ayuh teruskan bantuan dan doa kita kepada saudara kita disana. Marilah sama sama tambahkan pengetahuan dan membantu menjelaskan situasi disana kepada rakan rakan diluar sana. Kita tidak lagi boleh berdiam diri ketika saudara saudara kita dibunuh.

Antara cara kita menyebarkan kesedaran ini:
1. ikuti ceramah ceramah kesedaran yang dilakukan dimasjid
2. sebarkan makluman tentang tabung bantuan syria, mesir dan palestin.
3. mengadakan program program kesedaran seperti diskusi, forum dan lain lain.

Monday, August 5, 2013

malam malam terakhir ramadhan 1434H

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia di penghujung ramadhan ini. Banyak pengajaran dan muhasabah sepanjang bulan ramadhan ini perlu kita lakukan bagi memastikan kita melangkah keluar dari ramadhan sebagai orang orang yang menerima janji Allah seperti pengampunan dosa dosanya yang sudah berlalu dan akan datang.

Di malam malam terakhir ramadhan ini eloklah kita memperbanyakkan masa di masjid untuk beriktikaf. Masa masa ini sebenarnya sangat berharga dan tidak datang lagi melainkan diizinkan Allah. Hamba hambanya yang terus berharap akan berusaha mencari malam lailatul Qadar yang menjanjikan ganjaran yang lebih baik amalannya berbanding seribu bulan. Juga, ayuh teruskan amalan kebajikan yang masih boleh dilakukan seperti sedekah dan memberi makan orang berbuka puasa.

Disamping itu, tuntutan zakat fitrah juga hendaklah dilakukan segera. Semoga Allah menerima amalan kita.

Dimalam malam terakhir ini, kita juga mendengar berita sahabat sahabat seagama kita yang tertindas diserata dunia. Maka wajib kepada kita untuk membantu dengan daya upada kita. Antaranya ialah dengan memperbanyakkan doa. Sesungguhnya Allah itu dekat dan mendengar rintihan dan permintaan hambaNya.

Bagi mereka yang beriman dan bertakwa, mereka tidak berputus asa untuk meminta dan berdoa kepada Allah. Maka marilah kita bersama sama bersungguh sungguh dalam doa kita. Biarlah hati kita terkesan dengan doa yang kita baca.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); 
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu
Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Thursday, August 1, 2013

pecutan 10 hari terakhir ramadhan 1434H

Alhamdulillah ramadhan yang berlalu dan semakin meninggalkan kita. Namun bagi yang mencari keredhaan dan keampunan daripada Allah akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu ibadah yang dilakukan.

Antara amalan yang dilakukan Rasulullah di sepanjang 10 hari terakhir ramadhan ialah beriktikaf di masjid untuk menumpukan masa sepenuhnya kepada ibadah. Maka kita sebagai insan biasa hendaklah cuba mencontohi sunnah Rasulullah. Ganjaran yang dijanjikan disepanjang ibadah pada 10 malam terakhir amat besar.



Diantara ganjaran yang menanti bagi mereka yang tekun beribadah ialah malam lailatul Qadar. Ibadah pada malam lailatul Qadar adalah satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ibadah. Oleh itu hendaklah kita berusaha meningkatkan amal ibadah dan juga mengajak rakan rakan mencari malam lailatul Qadar. Semoga Allah pertemukan kita dengan malam yang sungguh istimewa ini.

InsyaAllah pada hari jumaat ini usrah GBS akan beriktikaf di Masjid Daerah Balik Pulau. Program dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Pulau Pinang. Banyak slot slot ceramah yang menarik untuk diikuti oleh para jemaah. Yuran yang dikenakan juga sangat minima. Para jemaah boleh datang mendengar ceramah dan turut sama beriktikaf.

Semoga program iktikaf ini dapat menjadi aktiviti yang dapat menyemarakkan lagi amalan iktikaf di sepuluh hari terakhir. Semoga Allah kurniakan kepada kita keampunan dan ketakwaan sebagai bekalan di bulan bulan seterusnya.

Thursday, July 25, 2013

muhasabah diri di pertengah ramadhan

Alhamdulillah ramadhan tahun 1434 Hijrah, 2013 Masihi sudah masuk hari ke 16.

Banyak muhasabah yang perlu dilakukan terhadap kualiti dan kuantiti amal ibadat yang dilakukan sepanjang hari ramadhan yang berlalu. Bagi yang berfikir tentang ini, sudah tentu akan cuba memperbaiki amalan kerana belum tentu dia akan bertemu ramadhan yang akan datang.

Didalam bulan puasa, erti pengorbanan dapat dihayati dengan lebih mendalam. Masa berhibur dan tidur dikurangkan dan masa untuk beribadah ditambah. Ibadah seperti bersedakah ditambah. Ini adalah supaya Allah menganjari dengan keampunan dan membalas dengan balasan syurga.

Nikmat nikmat didalam syurga diterangkan didalam Al Quran seperti sungai sungai yang mengalir sebagai perumpamaan. Sesungguhnya nikmat di syurga tiada tandingan dan tidak setara seisi dunia dengan nikmat yang bakal diterima kelak.

Semoga kita semua kembali kepadaNya dengan keadaan yang diredhai dan mendapat ganjaran terbaik yang disediakan bagi orang yang beriman dan beramal soleh.

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
(Al-Fajr 89:27)

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
(Al-Fajr 89:28)

"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
(Al-Fajr 89:29)

"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(Al-Fajr 89:30)

Wednesday, July 17, 2013

memperbanyakkan bacaan Al Quran di bulan ramadhan

Alhamdulillah, bertemu sekali lagi kita dibulan ramadhan. Sesungguhnya kedatangan ramadhan menyediakan keampunan yang luas bagi hambaNya. Ramadhan juga menjadi tanda ukur ketakwaan kita. Penilaian puasa hanya diantara hambaNya dan Allah.

Bagi yang beriman, mereka akan berusaha menjaga puasa dan menjauhi larangan supaya tidak sia sia. Diantara amalan yang patut dilakukan dibulan puasa ialah membanyakkan amalan tilawah.

Ramadhan bulan diturunkan Al Quran

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...
Al Baqarah: 185

Didalam Al Quran diterangkan bahawa Ramadhan menjadi bulan diturunkan Al Quran. Al Quran menjadi kitab petunjuk kepada umat manusia. Bagi yang teguh mempercayai kitab ini, maka balasan baik akan diterima. Bagi yang mengingkari kitab ini, balas buruk akan diterima kelak.

Al Quran menjadi pembela di hari kiamat

“Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya,
 “Bacalah Al-Quran itu kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafa’at bagi para pembacanya.” (HR Muslim)

Pada hari kiamat, dimana manusia bertanggungjawab atas diri sendiri dan tiada bantuan yang dapat dipohon lagi, Al Quran menjadi penyelamat kepada yang beramal dengannya. Maka janganlah kita sia siakan masa lapang dan terluang yang kita ada. Dekatkan diri dengan Al Quran dan berusaha memahaminya.

Ramadhan kali ini mungkin ramadhan terakhir buat sebilangan kita. Jadi beringatlah dan banyakkan amalan kebaikan.


Friday, June 14, 2013

persediaan ihya ramadhan

Alhamdulillah ramadhan bakal tiba lagi insyaAllah menemui hamba hambaNya. InsyaAllah kita diberi peluang untuk mengejar malam lailatul qadar dan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Oleh itu, persediaan awal untuk ramadhan perlu dilakukan untuk mengelakkan kita ketinggalan dalam mengerjakan amal ibadat didalam bulan puasa.

Memperbanyakkan puasa sunat
Antara amalan yang boleh diperbanyakkan sebelum bulan puasa ini ialah puasa sunat isnin dan khamis. GBSian boleh mengajak rakan rakan untuk berbuka puasa bersama sama. Sebaik baiknya bangun awal sebelum subuh untuk bersahur dengan sebaiknya supaya badan dapat bertenaga sepanjang waktu berpuasa.

Makanan berbuka juga boleh disediakan secara sederhana dan mengelakkan pembaziran. Amat mengejutkan bahawa banyak makanan yang tidak dihabiskan dan dibuang begitu sahaja. Ramai fakir miskin yang tidak mendapat makanan yang berkhasiat. Sepatutnya kita berfikir bagaimana mengurangkan pembaziran kerana pembaziran adalah sebahagian daripada amalan syaitan.


Menyediakan bajet untuk bersedekah
Sebagai persediaan, GBsian mungkin boleh menyediakan bajet bagaimana untuk menambahkan sedekah dibulan puasa. Senarai penerima sudah boleh dikenal pasti seperti Rayuan Ramadhan untuk fakir miskin diserta dunia Islam. Barang barang yang tidak perlu dibeli mungkin boleh ditangguhkan dahulu pembelian sehingga selesai Ramadhan. Bajet untuk persediaan hari raya boleh disediakan dengan lebih sederhana. Lebihan duit boleh digunakan untuk membeli baju kepada fakir miskin supaya mereka juga dapat meraikan sambutan hari raya.

Memperbanyakkan bacaan Al Quran
Didalam bulan ramadhan, bacaan Al Quran boleh ditingkatkan. Semoga kita dapat menghabiskan sekurang kurangnya 30 juzu' Al Quran sepanjang bulan puasa. Untuk itu, kita boleh membuat latihan membaca Alquran supaya dapat menghabiskan satu juzu' Al Quran. Antara waktu yang sesuai untuk membaca Al Quran ialah selepas solat maghrib dan solat subuh.

Menyediakan cuti untuk beriktikaf dipenghujung Ramadhan
Rasulullah pada penghujung ramadhan beriktikaf didalam masjid. Jadi, umat islam harus berusaha melakukan perkara yang sama. Cuti dan boleh dirancang supaya sepuluh hari terakhir dapat dihabiskan di masjid. InsyaAllah pertubuhan Ikram akan mengadakan iktikaf di penghujung bulan Ramadhan.

Semoga ramadhan kali ini datang dengan kita bersedia, dan pergi dengan kita mendapat manfaat sebaiknya. 

Friday, May 31, 2013

seruan global march to jerusalem tiba lagi, ayuh

Assalamualaikum buat semua GBSian,

Alhamdulillah kempen kesedaran Global March to Jerusalem (GMJ) tiba lagi. Kali ini dataran kemerdekaan shah alam dipilih. Jangan lepaskan peluang untuk menunjukkan sokongan kita.

Jumaat, 7 Jun 2013, Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Bagi yang jauh dari kota raya boleh mengambil cuti untuk turut sama mengikuti GMJ ini. InsyaAllah banyak kesedaran yang kita akan dapat daripada program sebegini. Disamping itu kutipan dana yang dilakukan akan membantu pembangunan dan kempen kesedaran.



Al Aqsa sebagai simbol keamanan.

Sesungguhnya kota Al Aqsa adalah kota keamanan. Mari bersama mengembalikan hak kota ini sebagaimana yang dilakukan saidina Umar dan juga Sallehuddin Al Ayubi. Ramai lagi rakyat palestin dan umat islam disana  pada masa dahulu dan sekarang yang telah mempertahankan kesucian kota ini dengan wang, masa dan air mata.

Jangan sia siakan perjuangan ini, malah kita dituntut menyertainya dengan kemampuan yang ada. Regim zionis akan hancur juga. Namun, ia tidak akan berlaku begitu sahaja tanpa perjuangan yang gigih. Siapa lagi yang akan menghulurkan tangan kalau bukan kita sendiri.

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Al-Israa' 17:1)

Thursday, May 23, 2013

ada kuasa dalam puasa

Assalamualaikum GBSian,

Alhamdulillah antara aktiviti GBSian yang selalu dilakukan ialah berbuka puasa secara bersama. Berpuasa sunat isnin dan khamis adalah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah tercinta.

Banyak kelebihan yang didapati daripada berpuasa. Diantaranya ialah menguatkan keimanan dan keyakinan kita. Didalam Al Quran disebutkan seruan berpuasa di bulan ramadhan bagi orang orang yang beriman.

Berpuasa dan dua kegembiraan
Begitu juga terdapat hadith Rasulullah bahawa mereka yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan. Kegembiraan yang pertama ialah apabila berbuka puasa. Dan kegembiraan yang kedua adalah berbentuk kegembiraan tertunda iaitu apabila bertemu dengan Allah. Maka ganjaran berpuasa ini sudah tentu akan memenuhi kehendak orang orang yang beriman sahaja.

Selain itu, puasa juga membangkitkan kuasa dalaman umat islam. Iman mengatasi kebatasan fizikal dan kehendak material. Kehendak material seperti makan dan minuman ditunda demi patuh kepada arahan Allah. Ini adalah satu latihan supaya fokus dalam melakukan sesuatu perkara ibadah.

Berpuasa meningkatkan keupayaan fizikal
Banyak kisah kisah bagaimana umat islam mencapai kemenangan didalam bulan puasa. Ketika bulan puasa, perang khandak yang memerlukan tentera Islam menggali parit pertahanan sekitar madinah. Usaha ini sudah tentu memerlukan keperluan fizikal yang banyak. Umat islam dengan izin Allah membuktikan puasa tidak menghalang mereka mencapai matlamat membina parit pertahanan.

Bagi umat islam masa kini, puasa yang betul menyiapkan fizikal umat islam untuk sedia berkhidmat. Ini dapat dicapai sekiranya umat islam mengawal jumlah pemakanan sewaktu bersahur dan berbuka. Elakkan daripada mengambil jumlah makanan yang berlebihan.

Rejab, Saaban dan Ramadhan
Alhamdulillah, kini kita berada didalam bulan rejab. Semoga kita memperbanyakkan amalan berpuasa sunat dan amalan seperti tilawah dan solat malam sebagai persiapan menghadapi ramadhan yang akan datang. Semoga Allah memanjangkan usia untuk kita bertemu dengan Ramadhan tahun ini.

Friday, May 10, 2013

kaitan iman dan amal


Assalamualaikum semua GBS,

Alhamdulillah kita masih dikurniakan masa untuk melaksanakan amal. Diantara petanda orang yang beriman ialah pada amalan nya. Jika seseorang itu benar benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka dia akan bersungguh sungguh dengan amalannya. Tidak mungkin seseorang itu melakukan sesuatu tanpa objektif. Hanya objektif yang jelas menghasilkan gerak kerja yang bersungguh sungguh.

Jadi, kita patut mencontohi Rasulullah dan juga para sahabat. Bagaimana keyakinan mereka kepada Allah dan hari akhirat menghasilkan amal yang begitu besar pengorbanan kepada dakwah Islam. Rasulullah dan para sahabat bersungguh sungguh menyebarkan Islam. Para sahabat nabi begitu teguh dan yakin dengan janji Allah. Mereka mengejar ganjaran hari akhirat dan mengambil bahagian didunia sekadar yang diperlukan.

Hadith 15 daripada Hadith 40

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia 
diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran 
tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia 
memuliakan tetamunya. 
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-'Ankabuut 29:2)

Iman sentiasa dikaitkan dengan amal. Seseorang yang mengatakan dirinya beriman tidak mungkin terlepas daripada diuji tahap amal nya. Maka hendaklah kita bersungguh sungguh menjaga amal. Jom teruskan menyebarkan Islam, semoga menjadi bukti amalan apabila bertemu dengan Allah kelak.



Thursday, March 21, 2013

22 Mac, memperingati syahid Sheikh Ahmad Yasin

Assalamualaikum buat semua GBSian,

pada 22 Mac 2004 seusai solat subuh, Syeikh Ahmad Yassin telah syahid apabila di bedil dengan peluru berpandu daripada helikopter Apache tentera haram Yahudi.

Sesungguhnya didalam Al Quran ada disebutkan tentang keistimewaan solat subuh. Solat yang istimewa. Allah menghadiahkan syahid kepada Syeikh Ahmad Yasin pada waktu yang istimewa.


Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).
(Al-Israa' 17:78)


Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
(Al-Israa' 17:79)

Menggegarkan musuh dari kerusi roda
Syeikh Ahmad Yasin seorang yang istiqamah dengan perjuangan membebaskan bumi Al Aqsa. Beliau menjadi idola pemuda pemuda disana. Walaupun berkerusi roda sejak usia yang muda. namun cita cita untuk syahid tidak pernah luntur daripada hatinya.



Muhasabah buat kita
Bagi kebanyakan kita yang masih boleh berjalan dengan kaki sendiri, hendaklah kita insaf dan mempergiatkan lagi usaha untuk membebaskan Al Aqsa. Kita juga tidak harus ketinggalan untuk memohon kepada Allah untuk mendapatkan syahid. Cita cita ini tidak harus pudar daripada hati kita. Teruskan usaha untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan membebaskan masjid Al Aqsa.

Friday, March 8, 2013

GBSian dalam membebaskan Al Aqsa

Assalamualaikum GBSian,

Al Aqsa dalam bahaya, begitulah kesimpulan yang diperolehi dalam seminar mengenai Al Aqsa yang GBSian hadiri bulan lepas di Universiti Malaya anjuran Yayasan Al Quds Malaysia.


Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari 
dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin)
yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. 
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Al-Israa' 17:1)

Masjid Al Aqsa Dalam Bahaya
Bahaya pengyahudian kota suci umat islam kini semakin jelas. Yahudi sudah berura ura untuk mengadakan kuil Haikal diatas runtuhan masjid suci Al Aqsa. Khayalan mereka bukan setakat hanya didalam minda. Malah mereka sudahpun menjelmakan khayalan ini didalam bentuk video dimana kuil Haikal didirikan diatas runtuhan Al Aqsa. Jelas Al Aqsa memerlukan perhatian khusus masyarakat Islam seluruh dunia.

Dakyah halus yahudi
Yahudi dan golongan zionis amat arif dengan sifat orang islam. Jika agenda merobohkan masjid Aqsa dilakukan secara kekerasan, sudah pasti umat Islam akan memberontak. Jadi mereka mengambil pendekatan halus.

Diantaranya ialah dengan membenarkan pelancong pelancong Islam dari serata dunia untuk datang dan solat di Masjid Al Aqsa. Mereka datang beribadat dan balik ke negara masing masing. Namun ini tidak timbul di hati untuk semakin berjuang membebaskan Al Aqsa. Harus diingatkan bahawa penduduk tetap di sekitar Masjid Al Aqsa sangat sukar untuk masuk ke kompleks Masjid Al Aqsa. Jelas, ini adalah penipuan yahudi yang sangat halus.

Umat islam Baitul Muqaddis ditekan

budak di Baitul Muqaddis dimalukan dengan rumahnya dirobohkan perbandaran haram Israel
atas alasan rumah dibina tanpa permit ( jan 2013 )

Umat islam di Baitul Muqaddis dalam keadaan yang sangat ditekan. Mereka dilarang untuk membina binaan baru di rumah. Mereka perlu memohon permit dari perbandaran haram Israel. Namun, permit amat sukar untuk diluluskan. Rumah rumah baru yang dibina dimusnahkan dengan alasan tiada permit, sedangkan perumahan untuk penempatan pendatang yahudi di perluaskan. Umat Islam dimalukan dan diperbodohkan.

Harapan umat menyedarkan pemerintah
Kita dapat lihat bagaimana pendapat umum mampu mengubah suasana dan keputusan politik. Sebagai contoh usaha usaha NGO yang banyak di Malaysia berjaya menarik perhatian parti parti politik untuk turut sama sama menyumbang kepada pembebasan Gaza. Seharusnya langkah yang lebih besar harus diambil supaya satu resolusi yang kuat dari seorang pemimpin Islam supaya ada usaha membebaskan Al Aqsa secepat yang mungkin kerana Al Aqsa dalam bahaya.

Siapa lagi yang akan membebaskan Al Aqsa kalau bukan kita
Al Aqsa memerlukan pembelaan. Masjid ini tidak boleh dibiarkan terus menuju kearah kehancuran demi menjayakan agenda Zionis. Umat islam harus digerakkan supaya dapat membentuk pendapat yang kuat. Ingatlah ketika Muhammad Al Fatih dan para tenteranya membuka kota Istanbul. Mereka yakin dengan janji Allah bahawa merekalah sebaik baik pemimpin dan tentera yang dijanjikan Allah untuk membuka kota tersebut.

Peluang datang sekali lagi pada zaman ini untuk pembebasan Al Aqsa. Maka marilah kita yakinkan diri kita bahawa kitalah sebahagian daripada umat Islam yang akan membebaskan Al Aqsa. Usaha ini tidak mudah dan jalannya panjang. Namun, ini lah antara usaha kita untuk mengejar syurga Allah.

Friday, February 1, 2013

penghayatan maulidur rasul

Assalamualaikum GBSian,

panjangkan selawat dan laksanakan pesanan Rasulullah
mencintai Rasulullah bererti meneruskan dakwah, ayuh teruskan menyampaikan mesej Islam


Sambutan dan ceramah
Alhamdulillah sudah hampir seminggu berlalu sejak kita memperingati hari kelahiran junjungan besar Rasulullah. Pelbagai cara penghayatan yang dilakukan. Antaranya ialah dengan mengadakan perarakan dan ceramah untuk mengenang pengorbanan Rasulullah dalam menyampaikan Islam kepada umat manusia di Semenanjung Arab.

Hasil daripada usaha gigih Rasulullah, dakwah Islam sampai ke serata pelosok dunia, timur dan barat. Sahabat sahabat Rasulullah meneruskan perjuangan untuk menyampaikan mesej Islam iaitu menyembah Allah yang satu dan kerasulan Rasulullah S.A.W.

Namun, kita tidak seharusnya memperingati hari kelahiran Rasulullah sebagai satu tarikh yang berulang setiap tahun tanpa perubahan. Kita tidak seharusnya hanya mengenang nostalgia sejarah perjuangan Rasulullah. Seharusnya kita berbuat sesuatu lebih daripada itu.

Dakwah sepanjang hayat
Kita hendaklah mencontohi sifat dan tauladan daripada Rasulullah. Rasulullah melakukan dakwah tanpa henti. Rasulullah membentuk para sahabat dengan keyakinan yang jelas sehingga menjadi para pendakwah yang hebat. Diatas keyakinan yang jelas ini sahabat sahabat bersebaran menyampaikan Islam. Mereka yakin bahawa Islamlah rahmat bagi sekalian alam yang perlu disampaikan. Mereka meninggalkan kampung halaman dan harta benda yang mereka sayangi demi Islam tercinta. Merekalah yang begitu yakin dengan janji janji Allah dan Rasul.

Satu persatu janji dan pesanan Rasulullah terlaksana. Islam berkembang ke bumi Andalus. Sinar Islam juga sampai sehingga ke selatan Perancis, Russia, Nusantara, Maldives, China dan banyak tempat lagi

Janji kita kepada Rasulullah
Begitulah seharusnya pengorbanan kita, seharusnya penghayatan kita tentang maulidur rasul membawa kita kepada kesungguhan kita untuk menyampaikan mesej dakwah Islam. Ramai rakan rakan kita samaada yang sudah islam dan belum islam memerlukan kita menyampaikan mesej Islam yang sempurna.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(A-li'Imraan 3:31)


Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
(A-li'Imraan 3:32)

pautan:
http://www.surah.my/3




Friday, January 11, 2013

galakan menghabiskan bacaaan al quran sejuzu sehari

Assalamualaikum buat semua GBSian,



Alhamdulillah tahun baru 2013 sudah pun menemui kita. Dan banyak perancangan yang kita boleh laksanakan didalam tahun ini. Diantara perancangan yang patut kita sertakan ialah perancangan berkaitan ibadah dan iman kita.

Kita dituntut supaya menghayati dan mendalami ayat ayat Al Quran. Al Quran harus didampingi dan dihayati.  Barulah Al Quran akan membawa kesan kepada kehidupan kita. Al Quran tidak seharusnya dijadikan bahan  bacaan sahaja. Seharusnya kita lebih memahami maksud ayat ayat Al Quran.

Mempelajari bahasa Al Quran
Untuk lebih memahami ayat ayat Al Quran, seharusnya kita menanamkan iltizam untuk mempelajari bahasa Arab. Yakinlah bahawa kita akan lebih menghayati Al Quran jika kita dapat mengetahui maksud ayat ayat yang dibaca.

Selalu mendengar bacaan Al Quran
Bacaan Al Quran yang baik yang dibaca oleh qari qari dan para huffaz yang memahami maksud ayat Al Quran berlainan dengan bacaan Al Quran yang dibaca oleh mereka yang tidak memahami. Jadi kita boleh mencari banyak bacaan Al Quran oleh qari terkenal di carian seperti Youtube. InsyaAllah bacaan bacaan mereka akan menyentuh hati kita. Carilah video video yang disertakan dengan makna dan grafik yang menarik.

Menghafal Al Quran
Ayat ayat Al Quran merupakan sesuatu yang berharga dan patut dihafal. Jadikan sebagai pengisi waktu waktu lapang. Menggantikan banyak irama lagu yang selalu kita dengari. Disamping itu, luangkan masa untuk mengetahu rumusan ayat yang kita hafal. InsyaAllah dengan menghafal ayat Al Quran, solat dan tilawah kita menjadi lebih menarik kerana kita mengetahui apa yang diperdengarkan kepada kita.


Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran
yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya),
yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara);
yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram;
kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya);
dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah),
maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
(Az-Zumar 39:23)

pautan:
http://www.surah.my/39
http://sigir.uitm.edu.my/svsi/dapatQH3.php?akar=Q086011&mula=1&pmula=1